Selasa, 16 Oktober 2012

Fobia


Seorang lagi kawan sekerjaku bernama Azmi atau lebih biasa digelar Pak Ngah dimasukkan kehospital kerana mengalami strok hingga lumpuh seluruh badan. 

Pak Ngah memang sakit sebelum ini hingga melayakkannya mendapat pencen ilat dan berihat di rumahnya di Alor Setar. Dia dikejarkan kehospital kelmarin tapi hari ini dikhabarkan agak kritikal dan doktor menyuruh keluarga membawanya pulang ke rumah saja. Ayat doktor yang begitu secara otomatis memberi pemahaman bahawa kalaau ada sesiapa yang ingin menziarahinya eloklah disegerakan. 

Kalau tak salah beliau juga adalah setempat kerja dengan ibu_suri sewaktu aku masih baru di Hitachi (sekarang bernama Renesas). Dia adalah juruteknik di IC assembly line. Kemudian dia dipindahkan ke bahagian workshop hinggalah ke tahap beliau tak mampu lagi bekerja. Itu cerita 20 tahun dulu.

Bila aku maklumkan berita ini kepada ibu_suri, sebaliknya respon spontan ibu_suri persis anak yang takut pada gelap malam.

"Abang, I takuttt... " sambil dia memegang dadanya sendiri. 

" Tak ada apa-apa la... Itu dah takdir untuk dia. You nak risau tak tentu pasal pula buat apa.. "

Aku faham. Bagi orang yang sakit seperti ibu_suri, berita negatif seperti ini memang mengfobiakan. Terasa seperti gilirannya pula semakin dekat. Seperti pula gilirannya itu berada di mana-mana di sekelilingnya.

Justeru itu tidak semua berita kurang enak boleh disampaikan kepada ibu_suri secara straight foward, begitu saja. Aku selalu pesan pada anak-anakku agar berhati-hati dalam hal ini. Dan kerap juga berlaku; berita kematian atau sakit kawan dan saudaranya tidak aku beritahu ataupun beritahu setelah beberapa hari berlalu.

Perkara yang sama juga mak aku alami dan lakukan terhadap abah aku semasa abah aku masih dalam rawatan dari skizofrenia, dulu!

Isnin, 15 Oktober 2012

Curcuma domestica Loir


Bukan main beriya ibu_suri menyuruh aku menalipon Angah yang masih berada di Ipoh supaya bawa balik kunyit yang subur dan lebar daunnya di belakang rumah mak.

" Sebenarnya kunyit yang mak tanam tu sama je dengan kunyit kita ni. Mak beli benihnya dari kedai juga. Bezanya tanah tempat kunyit mak tu ditanam lembab dan teduh. Pasal tu kunyit mak nampak subur dan daunnya lebar. Tanah kat rumah kita ni tanah campuran batu. Kita pulak penyegan nak siram selalu. Itu pasal kunyit kita kemetot jer... " terangku pada ibu_suri yang kekadang memang sukar memahami atau menerima hakikat sesuatu sejak mengalami sindrom mood dis-order ni.

Lagipun, kalaulah kunyit atau nama saintifiknya Curcuma domestica Loir yang hidup segan mati tak mahu kat laman sekangkang kera depan bilik aku ni hidup subur pun bukan sangat akan kami guna untuk memasak kerana kami banyak dari selalunya makan atau beli lauk dari kedai. Saje je ibu_suri ni berangan nak ada taman herba depan rumah tapi tak punya daya untuk mengusahakannya.

Dah lama dia tak usik pokok limau purut, pokok halia, pokok daun karipulai disamping pokok bunga kerak nasi dan pokok krismas. Malah pokok tanduk rusa dan pokok periuk keranya pun sudah lama mati tak terlayan.

Pokok langsuirnya pula memang sengaja aku biarkan berjemur di belakang rumah hingga mati kerana terpengaruh dengan kata-kata bomoh yang pernah merawat ibu_suri dulu bahawa pokok jenis itu yang aku kutip benih dari celah-celah pokok kelapa sawit di Mengkuang Titi dulu adalah tempat makhlok halus menumpang dan tak elok ditanam depan rumah.

Yang hidup subur di belakang rumah aku ni hingga tak boleh dibendung lagi cuma daun pandan atau Pandanus Odorus. Kalau ada sesapa nak ambil, ambillah. Aku dah tak kisah!

Ahad, 14 Oktober 2012

Puncak Himalaya

Lanskap depan Penjara Sungai Petani

Sebenarnya aku masih letih dek seharian memandu, semalam. Pagi riadah mingguan di Tasik Mengkuang. Bawa ibu_suri bersama agar dia dapat menghirup udara baru dan berjemur di bawah cahaya matahari pagi. Asyik memerap saja di rumah kurang sihat untuk kulit.

Tengahari kami ke Sungai Petani, ziarah Akhmal. Terkilan juga kerana kaki Akhmal masih tidak dirawat oleh doktor hospital. Secara baik aku tanya pegawai penjara, kenapa? Rupanya pihak penjara menunggu perpindahan dokumen perubatan dari Hospital Seberang Jaya ke Hospital Sungai Petani. Itu mau makan beberapa minggu kalau tidak bulan. Tika itu nanti Akhmal dah dipanggil semula ke mahkamah. Ntahlah..

Balik, seperi biasa ibu_suri suruh drive ikut jalan jauh. Aku pujuk dia agar balik saja untuk sembahyang dan rehat. Aku curi tidur hingga menjelang Maghrib. Belas juga dia kepada aku walaupun dia sendiri tak boleh nak picing.

Selesai Maghrib dia push aku bawa dia jalan-jalan lagi walaupun bila aku bertanya ke mana, dia cuma hinggut bahu. Aku pun cari akal untuk selesaikan urusan perbankkan kemudian singgah makan di gerai Mee Pokok Ceri kat astaka tak jauh dari Masjid Seberang Jaya. Memang diperakui mee gorengnya sedap.

Balik menjelang 10 malam kerana itu masa Angah dan Ayu balik bersama Marissa. Sambil ibu_suri bermain dengan Marissa yang tak berapa mahu sangat dengan orang selain mamanya, Angah berbual dengan aku perihal dia nak balik kampung Ipoh esok. Memang, berbanding ziarah orang tua ibu_suri di Penang, Angah lebih suka ziarah mak aku di kampung.

Bila Marissa merengek mau tidur, ibu_suri tiba-tiba bangun dan tarik tangan aku;

"Jom bawa I ronda-ronda. Boring la.. Marissa dah tidoq!"

"Apa ibu... kesian kat ayah!" ujar Angah. Aku malas banyak cakap, meminta kunci. Bawa Viva Angah lebih relaks rasanya berbanding Kancil aku yang dah tak berapa best akibat kemalangan dulu. 

Sememangnyalah menjaga kebajikan isteri yang mood dis-order ini memang perlukan kesabaran yang tinggi malah lebih tinggi dari puncak Himalaya. Tuhan ingin menduga aku, sebenarnya!

Rabu, 10 Oktober 2012

Fisherman

Sudah 2 minggu aku tidak menjenguk Akhmal di Penjara Sungai Petani. Bukan main lagi merengeknya ibu_suri yang amat rindu kepada Akhmal. Ok la... hujung minggu ni kita pi tengok dia, ujarku.


Batuk ibu_suri dah reda. Aku belikan dia Fisherman untuk dikemam bila saja tekak  terasa gatal.  Walaupun harganya agak mahal berbanding Strepsil atau Nano tapi ianya sugar free.

Aku pun tak tahu sebenarnya apa tindakan selanjutku terhadap kes Akhmal. Mungkin benar kata JH, dalam kes Akhmal ini tindakan aku lebih kepada by default. Sebenarnya fikiran aku pun dah buntu. Kerapnya Akhmal ini keluar masuk lokap buat aku seperti dah mangli. Samada biarkan dia di 'dalam' jika itu hukuman mandatorinya atau bebas dengan ikat jamin atau dengan pengawasan JKM bersama khidmat masyarakat; pada aku sama pro dan kontranya.

Ada juga terlintas di hatiku untuk membawa hal ini ke perbincangan bersama rakan usrah namun tak pasti sejauhmana kewajarannya.

Apapun, aku tidak putus-putus berdoa yang terbaik buat Akhmal. Dan ibu_suri pula yang tadinya ini mengadu sakit kepala pula buatkan aku berfikir bahawa sebenarnya aku mesti kuat dan teguh dalam memikul kesemua tanggungjawap ini. Bukan mudah sebenarnya menjaga 2 orang yang berlainan bentuk OKU ini. Pastinya, aku mesti menjaga diriku supaya nanti aku akan mampu menjaga mereka berdua.

Apapun, aku perlu tenang dan tabah dalam perjalanan hidup ini. Aku buat yang terdaya olehku. Aku adalah aku seadanya ini. Aku umpama Fisherman yang mungkin dihidupkan oleh Tuhan untuk merawati mereka selagi hayat ada!

Isnin, 8 Oktober 2012

Hari-Hari Terakhir Lelaki


Aku menghadiri jamuan meraikan persaraan rakan sekerjaku - Bahyah di kafetaria. Tak sangka rupanya dia dah mencapai umur persaraan. Cepatnya masa berlalu.

"Bila saya semak purata umur staf saya; lebih 50% adalah melebihi umur 45 tahun. Maknanya kalau nak dikira setiap bulan akan ada staf saya yang bersara," terang Azhar - GM bahagian QA department yang makan semeja. 

Aku sendiri pun kalau nak dikirakan hanya ada beberapa tahun sahaja bekerja di sini. Lepas tu aku tak tahu nak buat apa. Ramai yang suruh berniaga tapi aku bukannya ada pengalaman malah minat pun tak ada. 

Bila  dikenangkan tak sangka juga aku boleh bekerja hingga 30 tahun. InsyaAllah, tahun depan aku akan dapat sijil pengiktirafan dari majikanku bersama wang penghargaan yang aku agak RM1500 dan cuti 2 hari.

Aku tidaklah rasa kelat kerana selama aku bekerja di sini aku sempat memberi khidmat kemasyarakatan seperti menjadi pengerusi dan imam surau. Juga membantu hal-hal kebajikan rakan-rakan. Ramai di antara mereka yang merujuk kepada aku akan sebarang hal berkaitan peribadi dan kekeluargaan. Aku pun memang suka berkongsi pengalaman walaupun kekadang pening juga dibuatnya.

Walaupun aku selalunya dikategorikan oleh rakan-rakan sebagai individu yang pendiam, slow dalam tindakan serta terlalu lembut dalam mengambil tindakan namun itulah aku dan semampu itulah yang aku berikan untuk masyarakat di tempat kerjaku ini.

Sesekali fikir tak sabar rasanya menanti hari persaraanku ini. Letih dah bekerja. Anak pun dah besar dan berdikari. Tak ada yang perlu aku hambat lagi melainkan memenuhi keperluan hari-hari terakhir seorang lelaki. Mengisi baki usia dengan sesuatu yang aku suka dan ingini; yang dulu terpaksa aku pendamkan kerana mengutamakan keperluan anak dan isteri.