Aku baru saja unfriend pada 3 FB Group. Alasannya ialah aku bimbang akan sikap aku yang suka menulis secara jujur dan terus terang serta mudah menegur menyebabkan admin atau sahabat FB tersebut kurang senang.
Memang benar kata orang; mata pena lebih tajam dari mata pedang. Terlajak perahu boleh ditarik. Terlajak kata, terima sahaja padahnya.
Aku cuba untuk belajar menjadi orang yang bersikap profesional dalam perbualan dan penulisan akan tetapi rasanya masih juga tidak berjaya sepenuhnya.
Aku kerap menerima teguran dari pembaca blog aku ini pada beberapa entri, yang mungkin kurang menyenang mereka yang membaca. Kekadang, aku mendapat emel yang agak keras juga. Malah banyak kadangnya, tulisan aku yang dibaca oleh kawan-kawan sekerja menjadi bahan ketawa pula di meja makan waktu rehat.
Memang aku boleh tahan dengan ketawa mereka tapi aku selalu berfikir, kenapa mesti jadi begitu? Kelemahan ini mesti di perbaiki.
Dulu aku sebenarnya seorang pendiam tetapi gemar menulis. Dulu aku selalu bercita-cita untuk tidak mahu mengguris perasaan orang lain tetapi hari ini dengan tulisan, aku telah menghiris hati beberapa orang lain.
Adik aku sendiri pernah menegur aku tentang beberapa entri tapi aku tak ambil kisah. Bagi aku, sekali ianya tertulis, biarlah ia tersimpan sepertimana asal.
Aku masih perlu banyak belajar tentang tatasusila menulis. Menulis yang memberi manafaat. Bukannya yang menerbitkan hasad! Aduhhhhh....!





