Walaupun hujan rintik-rintik, aku tetap pasrah memandu ke Tasik Mengkuang untuk rutin riadah mingguan. Aku mesti berdisplin dalam menjaga kesihatan diri.
Masih ada ramai orang yang kebanyakannya Melayu dan Cina. Aku ambil trek yang pendek. Hari ini aku rasa cukup fit untuk berjogging.
Sambil jogging, aku teringat ajakan adik beradik supaya mengikuti mereka ke Johor Bharu sempena majlis perkahwinan saudara abah mertua bulan depan. Semalam aku rasa setuju untuk pergi demi mahu menggembirakan hati mertuaku. Tapi pagi ini aku berfikir dari sudut lain pula - mana betah ibu_suri duduk dalam bas begitu lama. Kemudiannya tidur dan ke bilik air yang ntah bagaimana rupa kemudahannya itu kelak. Sedangkan balik ke rumah aku dikampung pun mutakhir ini hanya balik hari kerana ketidakselesaan dalam serba serbi. Hurrmmm...
Habis riadah aku singgah tunaikan Dhuha di Masjid Kubang Semang lansung singgah isi perut dengan Radix, cucur kodok kegemaranku sejak kecil dan baca akhbar di kedai bersebelahan.
Terasa betapa berharganya kehidupan yang masih berbaki ini. Akan aku cuba penuhi ia dengan segala yang baik tanpa perlu menghambat kemewahan dunia.
Tiba-tiba teringat sahabat yang pastinya sudah pun berada di Serdang. Khabarnya ada pertemuan dengan sekalian Ahli Teras IKRAM. Aku rindu pada itu semua sebenarnya!
Tengahari ini nak beli kari kepala ikan dan ulam-ulam sahaja untuk makan tengahari. Balik nanti cuma tanak nasi saja bercampur daun pandan. Pasti wangi!

