Ahad, 9 November 2014

Beriku HidayahMu!


Sedikit resah pagi ini. Rasanya elok kalau pergi mandi dan keluar riadah di Kompleks Sukan MPSP, Bukit Mertajam. Harap-harap ibu_suri tak sedar aku keluar. Aku ingin sendirian mencari ketenteraman.

Dia masih tidur dengan dengkur yang teratur.

Tuhan... berilah aku kekuatan menempuh hidup yang masih ada. Berilah aku hidayahMu agar aku terus perkuatkan azamku untuk perbaiki diri, terus bangun walau tersungkur beberapa kali dalam ibadah dan istiqamah berjalan di atas jalanMu yang lurus!

Kembalikan aku ke rumah dengan dada yang lapang untuk meneruskan kehidupan yang masih panjang dan berlikuan...

Jumaat, 7 November 2014

Terkanja



Walaupun malam dah sayup, aku masih tak dapat picingkan mata. Sebaliknya ibu_suri pula begitu damai dengkurnya.

Masih terbayang hal tadi. Mendapat whatsapp tentang adanya program gotong royong mengecat rumah yang bakal dijadikan asas untuk SRI Amal Rintis milik IKRAM Seberang Perai Tengah. Teruja untuk berjumpa dengan kawan lama, aku pun bergegas mengajak ibu_suri seusai Maghrib di masjid.

Sesampai di Permatang Janggus, yang ramai aku dapati adalah ahli IKRAM gen Y. Terkanja rasanya bilamana tak nampak pun kelibat rakan-rakan seera aku. Hmm... agaknya mereka ada program lain kot. Maka aktiviti malam ni akan lebih diterajui oleh IKRAM gen Y.

Walaupun aku biasa tengok wajah-wajah mereka namun kurang mesra membuatkan aku rasa sikit canggung. Tambahan pula apabila cuba untuk berinteraksi dengan mereka, bagai ada jurang komunikasi. Jika ada sorang dua rakan sebaya aku sebagai pemangkin tentunya lebih meransang ikatan silaturrahim.

Inilah antara kelemahan aku; tak pantas menyesuaikan diri dengan sesuatu yang baru.

Rabu, 5 November 2014

Tajwidku


Malam ni aku berkesempatan untuk berjamaah di masjid. Selalunya, waktu Zohor dan Asar saja sebab malam bawa ibu_suri jalan-jalan. Malam ini, usrah cancell. Jadi ada can la aku dengar kuliah.

Sayangnya, kuliah pun cancell. Ustaz kurang sihat. Sebagai ganti, imam solat Maghrib tadi adakan sesi memahami tajwid. Dia merujuk pada Surah At- Tiin. Surah ini pada aku kacang je tapi ...laa... tajwid aku selama ini lintang pukang rupanya. So, alhamdulillah, banyak juga yang aku pelajari malam ini.

Kebetulan dalam kereta aku, memang selalu ada quran. Aku akan membaca setiap kali lepas solat sebelum memandu pulang. Jadi quran itulah yang menjadi rujukan aku tadi.

Selasa, 4 November 2014

51


Simple celebration sempena ulangtahun kelahiran ibu_suri ke 51 tadi di rumah Angah. Pertama kali juga aku belikan dia kek perisa mangga yang agak mahal harganya kat Damiral's, Perda.

Bagi aku, harga bagi sebuah keluarga ialah senyumtawa mereka. Namun bagi bagi ibu_suri agaknya ialah bilamana dapat memotong kek bersama cucu sulong kesayangannya - Marissa.

Isnin, 3 November 2014

Mak

Keuzuran mak amat ketara lebih-lebih lagi sejak pemergian Niza. Sosok tubuhnya semakin kering hinggakan bilamana aku nak mengangkatnya dari bilik air ke perbaringan terasa gusar. Takut-takut 'patah' atau terseliuh tulang dan sendi mak.

Memakaikan baju dan seluar mak tak ubah seperti aku memakaikan lampin anak-anakku dulu ketika masih bayi.

Sayangnya, aku ada ibu_suri yang merencatkan hasrat aku untuk tinggal beberapa hari menjaga mak. Keadaan fizikal dan emosi ibu_suri tidak membolehkan aku lama di rumah mak. Apakah ibu_suri seperti satu liabiliti dalam keadaan yang sepatutnya mak lah yang sepatutnya aku dahulukan menjaga?

Jumaat lalu, aku bawa mak ke klinik yang rupanya dah 2 hari demam. Dokot pesan, kalau hari Isnin masih tidak kebah, mak perlu dibawa ke hospital untuk di periksa. Hari ini hari Isnin. Aku menghantar sms kepada adikku bertanya tentang mak. Kata adik, mak sedang di rujuk semula ke klinik.

Doaku yang terbaik buat mak. Berbanding abah, mak adalah insan yang paling banyak berkorban untuk tumbesaran keluarga kami!