Semalam hampir sepagian aku di Klinik Kesihatan Kubang Semang, membawa ibu_suri untuk pemeriksaan kesihatan. Tekanan darah dan gula menurun sikit dari sebelum ini. Namun bagi doktor bacaan ini masih membimbangkan dia. Maka... macam biasa... doktor Cina yang masih muda itu... 'berleter'...
Yang aku nak habaq mai ni bukanlah sangat pasal rutin ibu_suri buat medical checkup tetapi ialah melihat ragam orang tua yang lebih kurang era aku ini. Ada yang datang berkerusi roda, ada yang bertongkat, ada yang berjalan mengheret kaki.
Ada yang tak faham-fahaam cakap jururawat, ada yang membebel tentang sakitnya, ada yang monyok dan ada yang terlebih ramah.
Aku meluahkan rasa kagum aku dengan beberapa orang Cina tua (majoriti yang datang ialah Melayu) yang membuat rawatan tapi gaya berjalannya memberitahu bahawa dia cergas. Berbeza dengan orang tua Melayu yang seperti aku tulis di atas.... bertongkat dan berpapah.
Ini semua seolah-olah memberi satu kesedaran yang otomatik bahawa sementara aku masih boleh berjalan dan berselera makan, sihat ini perlu dijaga. Jangan menjadi hingga seperti mereka yang lelah, yang payah dan yang susah untuk bergerak.
Biarlah aku menjadi orang yang menjaga orang sakit bukan sebaliknya menjadi pesakit yang orang lain pula terpaksa menjaga aku.
Sebabnya... aku rasa aku mampu dan layak menjaga orang yang sakit sekalipun kronik sedangkan aku tidak yakin yang orang lain boleh menjaga aku sekiranya aku pula yang sakit.
Aku selalu beritahu pada ibu_suri bahawa.... dia patut bersyukur pada Tuhan yang walaupun dia sakit tapi dia masih ada aku yang tetap sabar walaupun sesekali marah dan bosan menjaganya.
Bayangkanlah jika aku ini ditakdirkan tiada lagi...
Justeru itu aku selalu berdoa supaya kalaulah ditakdirkan untuk mati, biarlah ibu_suri yang mati dahulu. Tak patut ke doa aku ini?


