Selasa, 8 September 2015

Bengkak

Aku nekad mengambil aleh tanggungjawap rutin membawa abah mertua ke klinik bermula semalam. Ujarku pada ibu_suri - sekadar ini yang boleh kita perbuat demi membalas jasa mak dan abah. 

Walaupun kita tinggal di seberang sedangkan anak-anaknya yang tinggal dekat masih ada, kita usah ingat kenapa dan mengapa tidak mereka. Kita ikhlaskan hati menggalas tugasan ini. Aku rasa bukan saja ini akan menyenangkan hati abah malah meringankan 'beban' yang terpaksa dipikul sendirian oleh Yati, adik ibu_suri yang selama ini menjaga mereka berdua sejak bertahun lamanya.

Aku beritahu doktor wanita Cina di bilik 7 Klinik Kesihatan Jalan Perak itu bahawa abah masih belum di periksa darahnya. Dan... kaki abah bengkak.

Doktor memberi tarikh temujani baru hari Khamis ini untuk pemeriksaan darah. Memberi ubat untuk 2 minggu termasuk pil untuk buangkan air dari dalam badan. Fahamlah aku, kaki abah bengkak mungkin disebabkan kegagalan buah pinggangnya memproses nyahkan lebihan air dalam badan. 

Bukan mudah bawa abah yang susah untuk berjalan sebab lutut yang tak kuat. Juga, bukan mudah sebab abah kerap mahu ke bilik air. Untungnya sebab aku mempunyai pengalaman luas semasa menjaga ibu_suri dulu. Pengalaman ini aku gunakan pula semasa menjaga abah. Apa pengalaman berguna itu?

Sabar
Tenang 
Berlapang dada
Memahami
Kasih sayang

Selepas Khamis ini, 2 minggu lagi aku perlu bawa abah semula untuk temujanji baru. Doktor nak lihat semula kondisi kaki abah selepas makan pil itu. Tapi rasanya... masih sama!

Ahad, 6 September 2015

Subuh Sepi'e

Aku memanglah, dari balik bawa ibu_suri jalan-jalan tadi masih belum ngantuk. Habis tengok cerita James Bond di TV2, mata tetap segar. Bila dengar dengkur ibu_suri mula teratur, aku teringat nak keluar bersendirian, minum di warkop tepi Masjid Kubang Semang. Sambil memandu sambil dengar cd Iwan Fals; penyanyi yang lantang mengkritik penguasa melalui lagu-lagunya.

Jam 3 aku balik rumah dan buka laptop. Ingat nak baca fb dalam setengah jam lepas tu tidur. Mana tau... tiba-tiba terpacak ibu_suri di birai katil;

"Pukul berapa?"

"Pukul 3..." 

"Nak pi pancoq..."

Tak lama, terdengar bunyi debur air. Dan tak lama juga, dia memanggil. Sebaik aku menjengah pintu...

"Laa.... apahalnya mandi Subuh sepi'e ni?"

"Pukul berapa?"

"Baru pukul 3..."

"Laa... ingatkan dah pukul 7..."

"Pukul 7 apa ke gelap gelemat kat luar..."

Tak terkata apa selain menarik nafas dalam dan lepaskan. Dia... macam selalu... nyerongin sambil mengucapkan ayat powernya.... sorry la bang!

Jumaat, 4 September 2015

Khutbah USL


Khatib solat Jumaat hari ini ialah ustaz Shahril Long. Mendengar nama dia saja dah pasti aku takkan mengantuk punya hari ini. Ini ustaz termasuk dalam kategori tak baca teks. Nas Quran dan hadis keluar cair dari mulutnya.

Isi khutbahnya ialah tentang hukum Hudud. Walaupun dalam kepala aku tika mendengar tadi ada pelbagai prasangka dan andaian namun aku cuba ketepikan. Memang... semua yang disampaikan oleh USL itu benar dan tepat. Hukum Islam adalah penyelamat umat di dunia. Segala bala dan musibah yang berlaku di negara kita sekarang adalah berpunca dari kita yang tidak mengamalkan sistem Islam dalam hidup dan pentadbiran negara.

Biasalah penyampaian USL ini, tajam dan pedas. Hendaknya, dalam keadaan di mana umat Islam dalam satu parti ada yang memisah diri membina parti lain. Ini yang aku agak tak banyak sikit berupa sindiran kepada golongan yang memisah diri ini. 

Namun aku mendengar dengan hati terbuka dan fikiran positif. Tak ada satu pun dari apa yang disampaikannya itu tidak betul. Cuma bagi aku, kaedah seseorang itu membuat kerja atau mengimplementasinya sahaja yang sikit berbeza. Dengan kata lain bermaksud... tujuan sama, pendekatan sahaja yang berbeza.

Berbeza pendapat adalah lumrah. Namun orang yang berjiwa besar akan menerima semua perbezaan dengan lapang dada.

Bagi aku, khutbah hari ini amat berisi berbanding khutbah beberapa minggu sebelum ini yang malap saja isinya...

Khamis, 3 September 2015

Warisi


Akhirnya semalam, aku terima kaset yang aku beli secara online dari rakan fb di Indonesia. Seminggu lebih juga kirimannya itu baru sampai secara pos biasa.

Walaupun kaset ini keadaan luarannya udah lusuh tapi dek kerana minat mendalam terhadap penyanyinya dan bercita-cita untuk mengumpulkana semula semua album beliau sedari vol 1 hingga vol 22, aku pejam mata membelinya dengan harga RM40 setiap satu termasuk ongkir. Dan walaupun sekarang ini orang dah tak pandang pada kaset tapi bagi para kolektor yang kebanyakannya Indonesia, mendengar lagu melalui kaset juga sesuatu yang klasik.

Sekarang ini pemanduanku terasa lebih menyeronokkan sebab keretaku telah ditambah dengan pemain kaset. Ini membolehkan aku mendengar semula koleksi kasetku yang disimpan sejak muda yang jumlahnya menghampiri seratus unit. Antara koleksi itu yang aku sayang ialah kaset zaman kegemilangan nasyid era 90an.

Sekarang ini aku minat kumpul semula cd lagu terutama nasyid dalam bentuk individual album (bukan kompilasi) dan aku hampir dapat mengumpulkan kesemua album Rabbani, Hijjaz, Raihan, SaffOne, NowSeeHeart dan banyak lagi. Aku tak banyak simpan album asal Ebiet G Ade. Yang ada hanya dalam bentuk kompilasi. Koleksi lagu dalam bentuk cd lebih tahan lama berbanding kaset yang mudah rosak pitanya jika tidak dikelola dengan baik.

Bila ibu_suri membebel kerana dalam kereta dia lebih suka dengar radio frekuensi 95.7, aku cuma membalas... nak buat macam mana... like father like son.

Selalunya anak yang sulong akan lebih mewarisi fe'el bapanya, kan. Macam Along juga yang mewarisi banyak fe'el aku. 

Nasib baik juga....ujarku tatkala ibu bercerita tentang Along sambil sarapan pagi tadi. 

Kenapa?... 

Sebab kalau ikut perangai ibunya susahlah isterinya nanti.... asyik angin jer seluruh badan...

Selasa, 1 September 2015

Kesumat


Kat wall  facebook aku sejak 3~4 hari ini tak habis-habis cerita rentetan dari BERSIH. Rasanya kalian juga tahu dan alami. 

Penat juga mengatur hujah dengan mereka. Kekadang terasa jelak dan seperti mau saja aku unfriend mereka ini. Tak reda kesumat mereka. Pada pandangan aku yang membaca posting mereka, seolah-olah mereka ini berpagi-pagi solat Dhuha, berpetang-petang dengan bergunjing. 

Tak kiralah, apa yang berlaku itu samada salah penganjur atau peserta  tapi yang panas dikipas ialah elemen perkauman. 

Ada satu posting itu, selepas aku menukar tempo hujah dari kontra kepada bentuk sindiran, dia terus terang mengatakan dia cuma provoke... sini. Pada aku sebenarnya dia sedang mencipta dosa kering.

Apapun, pendirian aku ialah kita sepatutnya menjadi pendamai bukannya penambahrosak. Kita patutnya cuba menutup aib dan meraikan kebaikan. Sepatutnya menjadi seperti lebah bukannya seperti lalat.

Ada 5 tuntutan BERSIH yang saya percaya takkan ada siapa yang mengatakan tidak menyokong. Itu sepatutnya yang dipandang dan dikupas. Bukannya isu ranting .. kenapa tak bersolat di masjid sebaliknya di jalan raya, dipersoal Cina yang menuang air untuk Muslim berwudhuk, bercampur lelaki perempuan, perempuan Cina memakai seluar pendek dan Cina tidur di hotel sementara Melayu tidur di atas jalan.