Khamis, 29 April 2010

Budaya Last Minute!

Sepatutnya hari ini ibu_suri pergi untuk rawatan susulan darah tinggi di Klinik Kubang Semang. Aku sudah pun mengambil cuti sehari untuk ini.

" I tak mahu pi klinik. You pi kerjalah. I nak tidur. "

" Jom la. Nanti doktor marahkan abang sebab tak bawa you pi check. "

Dia mengalih baringan. Aku tahu dia tidak makan dek pujukan.

Malas nak peningkan kepala, aku pun mengambil kunci kereta dan mengunci pintu rumah. Jam sudah menunjukkan hampir pukul 8 pagi. Hendak ke tempat kerja pun tidak sempat. Sambil memandu aku tiba-tiba terperasan.

' Warghhh... income tax belum settle lagi. Hari ini 29hb. Esok tarikh akhir hantar borang....!'

Aku terus ambil keputusan untuk ke LHDN, Bandar Perda. Kebetulan semua dokumen memang sudah ada dalam kereta. Lagutulah, aku bawa pi balik, pi balik kerja. Konon-konon nak isi dan pos akan tetapi tak kesampaian. Fokus aku terhadap ibu_suri membuatkan aku alpa terhadap hal-hal lain.

Di LHDN hampir semua yang datang membawa borang seperti aku.

" Saya dah isi separuh dari borang ni. Cuma bila sampai bab nak kira pendapatan ni saya tak boleh nak fikir. Jem la otak saya. "

" Encik dah tak sempat ni. Esok last day. Encik kena isi guna e-filling. Encik isi dulu borang ni. "

Aku pun isi borang. Tak lama, nama aku dipanggil untuk pergi ke meja 26. Aku anggarkan ada 20 biji komputer riba di letakkan di depan dewan yang cukup besar dan selesa. Meraba-raba juga aku melayari e-filling hinggakan status perkahwinan pun aku terpilih ' JANDA ' yang sepatutnya aku pilih ' BERKAHWIN '. Ketawa sendirian aku. Bila masa tangan aku menekan kotak JANDA itu.

" Isteri encik tidak di daftarkan sebagai OKU ke? "

" Tak! "

" Sayang.... Kalau tidak encik dah boleh tolak banyak... "

Susah nak aku ceritakan kenapa aku tidak sampai hati untuk mengOKUkan ibu_suri. Tak apalah, duit boleh dicari, fikirku. Hati dan perasaan lebih mahal dari segalanya.

Aku rasa puas kerana dapat menyelesaikan satu perkara. Aku cuma perlu bayar RM164 sahaja untuk incometax 2009 ku.

Aku terus memandu ke Jambatan Pulau Pinang untuk ke lokasi kerja. Aku ambil keputusan untuk cuti separuh hari sahaja untuk hari ini.

Ditempat kerja aku pun tunjuk eksyen kerana dah selesai submit incometax sedangkan mereka masih belum. Aku 'ugut' mereka supaya pergi awal esok kalau tidak mahu mengalami kesesakan di kaunter LHDN.

Ha.. Ha.. Budaya kerja last minute... gitulah...

Isnin, 26 April 2010

Sukarnya Terima Kekalahan

Bukan senang untuk menerima hakikat bahawa kita sudah kalah.

"Kita patut boleh menang kalau BN tak t**** d***. Macam-macam j**j* depa t****. Terang-terang depa tunjuk dalam tv, PM j**j* macam-macam. Orang Melayu pun apa lagi. Bla... bla.. bla... "

Ngomelan ibu_suri sebermula beredar dari rumah Tok ba di Air Itam hinggalah memasuki jambatan Pulau Pinang membuatkan aku sesekali ketawa kecil. Ketawa kerana aku sudah tidak tahu nak kata bagaimana. Ketawa kerana mengenangkan sikap sesetengah manusia yang susah hendak menerima hakikat kekalahan. Lebih-lebih lagi apabila segala usaha telah dicurahkan dan harapan itu seperti boleh dicapai tetapi rupanya hancur berderai.

"Elok pun kita kalah." Aku cuma meredakan suasana sesak di dada ibu_suri.

"Kalau kita selalu menang kita akan jadi riak. Sebab itu kata orang; senang untuk jadi juara. tetapi yang susahnya ialah untuk mempertahankan kejuaraan itu."

Diam.

"Hari ini kita kalah tak semestinya kita kalah hari esok. Kita cuma ada 2. Kalah atau menang. Hari ini diisytiharkan kalah. Maka kita kalahlah. Nak buat macammana. Rakyat Hulu selangor pilih BN.Jadi, BNlah wakil rakyat mereka."

"Tapi depa main kotor."

"Itu kerja depa. Depalah yang tanggung dosanya. Kalau kita ada bukti, kita bawa ke mahkamah."

"Ala, bukan boleh menang. Mahkamah depa punya."

"Menang atau kalah soal kedua. Yang penting kita dah usaha."

"Ala... sudah! Sudah! I tak mahu fikir. Sakit kepala I."

Sambil meletakkan kepala ke penyandar kerusi, ibu_suri memejam mata. Aku tahu, itu maknanya dia benar-benar kecewa. Dan kekecewaan itu benar-benar membuat dia sakit kepala.

Aku memandu kereta di kelajuan 60km sejam. Aku tidak peduli lampu tinggi yang dinyalakan oleh kereta belakang. Hendak cepat, potonglah ikut kanan. Mujur malam itu hujan. Cuaca sejuk dan sunyi diharap akan dapat mententeramkan ibu_suri.

"Esok i nak jumpa Dr Mansor. Nak mita kerja dari dia. Kena buat kerja. Tak boleh duduk diam macam ni."

Efffssss... Aku mula 'sesak' dada. Letih aku bila memikirkan kehendak ibu_suri yang seperti ini. Tidak habis-habis.

Aku sms kepada anak aku minta dia pasang penghawadingin bilik ibu_suri. Biar bila ibu_suri tiba di rumah nanti, biliknya sudah cukup sejuk untuk dia tidur.

Jam sudah 12 tengah malam. Perut aku berkeriut. Selepas habis mesyuarat Koperasi Pelaut Pulau Pinang tengahari tadi, aku tidak lansung menjamah makanan. Terus ke rumah Tok Ba ziarah mak dan abah ibu_suri.

Jumaat, 23 April 2010

Tuhan Itu Maha Kaya

Semasa makan dengan ibu_suri di Sungai Dua Char Koay Teow;

"Abang, betul ke u sayangkan I?"

"Ha.. la.. Kalau tak sayang takkan sampai hari ini kita kekal bersama?"

"Mana tau. You boring ke. Asyik-asyik bawa I pi hospital. Pi klinik."

"U tau, banyak perkara abang belajar semasa u tak sihat ni (aku jarang guna perkataan sakit untuk ibu_suri). Di hospital tu abang tengok macam-macam jenis orang sakit ada. Abang rasa syukur sebab abang masih sihat. Tuhan itu maha kaya. Dia bagi u sakit tapi abang masih sihat."

Aku tahu saat ini dia emosinya sikit down. jadi aku perlu up dia.

"Kita ni jangan selalu tengok bintang. Kalau kita selalu tengok bintang kita akan lupa yang kita ini sebenarnya berdiri atas rumput. Kita kena selalu tengok orang susah. Jadi kita akan sedar yang diri kita satu hari nanti akan susah. Akan sakit. Jadi kita bersedia untuk itu."

Memang benar. Keselaluan aku melihat orang yang sakit di hospital dan ziarah kubur membuatkan aku selalu tersedar bahawa masa aku untuk hidup sebenarnya semakin pendek. Aku juga selalu melihat orang tua yang sudah tidak mampu berjalan dengan cergas.

Aku sendiri pun sudah mula merasai ketidakcergasan dan sesekali kesakitan itu...


  • ibu_suri dengan anak saudaranya ketika mandi di Lata Bukit Hijau, Kulim

Rabu, 21 April 2010

Jangan Percaya 100%

Aku ada seorang kawan. Perempuan. Berbangsa Cina. Aku pernah cerita tentang dia yang terberi fotonya kepada seorang lelaki Melayu. Kemudian rasa kesal dan ingin mengambil semula foto itu tapi tidak tahu bagaimana caranya.

Tadi dia berjumpa aku. Kali ini dia bercerita tentang seorang lelaki pendatang yang Muslim tetapi mempunyai masaalah dengan majikannya. Dia hendak balik semula ke Bangladesh tetapi tidak cukup wang. Kawan aku ini ingin menolongnya. Jadi, dia bertanyakan pendapatku.

Aku beritahu dia supaya berhati-hati dengan Mamat Bangla ni. Dari cerita dia yang berusaha membawa Mamat Bangla ni kepada majikannya untuk menuntut wang gajinya sebelum ini tetapi majikannya tidak mahu berikan, kawanku ini terlalu mudah percayakan orang.

Mamat Bangla ini tidak punya cukup wang untuk balik. Dia perlukan RM1000.

Aku nasihatilah kawanku ini supaya lebih berhati-hati. Jangan percaya 100% dengan pendatang ini sebab dia mungkin ambil kesempatan. Daripada cerita kawan aku ini, Mamat Bangla ini nampaknya seperti itu.

Tapi dia beria-ia hendak menolong. Kalau tidak banyak, sikit katanya.

Aku tegur dia kerana terlalu berani membawa Mamat Bangla ini dengan keretanya pergi berjumpa dengan majikannya.

"How do you know he is honest to you. He can rob even rape you anytime. You have husband and have children. You should be more carefull."

Aku ceritakan kepadanya bahawa ada banyak kes wanita mudah terpedaya dengan bujukan lelaki pendatang asing.

"If he didn't get your money, he dare to get your body."

"World nowdays, you can't believe all people 100%. At least 10% you must put question mark on him."

"Even myself also, you please don't believe me 100%. I am not angel." Akhirnya aku merendah diri demi memberi peringatan kepadanya. Hero, begitulah!

Walaupun usianya mencecah awal 50an tetapi raut wajahnya memang masih cantik. Agaknya kerana dia rajin menggunakan AVON sebagai bahan solekan. Dia juga mudah mesra yang mungkin menyebabkan ramai orang mudah tertarik kepadanya.

Isnin, 19 April 2010

Beriku Kesempatan

Hatiku terkesan bila mendapat berita bahawa sahabatku yang bekerja di Renesas Technologi, Kulim telah disuruh bawa pulang oleh doktor setelah beberapa hari berada di Hospital Metro, Sungai Petani. Hati dan usus perutnya menghadapi masalah. Perutnya mula membengkak dan matanya kekuningan. Khabar terbaru, matanya sudah tidak terbuka. Sahabat-sahabat di RTK mengadakan majlis membaca Yassin.

Semalam, semasa aku menemani anakku Along ke Sunshine Square, Air Itam untuk membeli barang keperluannya, aku sempat berbual panjang.

"Ayah bagi tahu kawan ayah. Jika boleh ditakdirkan, ayah harap ibu akan mati dulu dari ayah. Kawan ayah marah ayah kerana berkata begitu. Cuba Along fikir, kalau ayah mati dulu dari ibu, siapa yang boleh jaga ibu? Along boleh?"

Along diam.

"Ayah ada tanya Angah. Tau Angah jawab apa? Ho..ho..ho...."

"Sama-sama matilah, Ayah" komen Along perlahan.

"Yelah... Kalau boleh begitu, baguslah."

Aku teringat semasa balik dari menghadiri majlis pengkebumian nenek tiri ibu_suri pertengahan bulan lepas. Memandu di jambatan Pulau Pinang, ibu_suri sempat berpesan pada aku sambil mengalirkan airmata.

" Kalau I mati nanti, u tanam I dekat kubur Tok Ba, ya...."

Aku cuma mengangguk. Tok Ba, nenek dan nenek tiri dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Hashim Yahya, Jalan Perak. Saban Hari Raya, kami selalu menziarahi perkuburan mereka.

Hmm... Aku selalu berdoa kepada Tuhan muga diberi kesempatan untuk aku hidup dan menghidupkan amalan. Muga aku dapat berbuat sebanyak-banyak amalan dan bertaubat sebanyak-banyaknya

Pun aku selalu kesal kerana aku selalu lalai lebih-lebih lagi bila tiada masalah melanda.

    Ibu_suri di Stesyen Keretapi Butterworth semalam menghantar Along balik ke Gombak.

    Ibu_suri semasa ziarahi Akhmal di Hospital Taiping.