Jumaat, 29 April 2011

Sabar

Maaf jika aku tidak kelihatan singgah membaca sekaligus memberi komen di blog kalian.Aku sibuk yang bukan sedikit dalam membuat persediaan untuk Majlis Akad Nikah Angah pada hari Ahad ini di Masjid Permatang Batu jam 10 pagi. Kalau ada yang ingin turut sama boleh jugaklah!

Tetapi di celah-celah kesibukan itu rutin kebajikan ibu_suri tetap kena dijaga. Bagi aku ibu_suri seperti anak kecil yang kalau makan, mandi dan pakainya sempurna maka kuranglah ragamnya. Senanglah kerja-kerja lain hendak diteruskan. Sesekali bila melihat senyum dan mendengar tawa ibu_suri rasa belas menjadi semakin dalam. Aku tahu ibu_suri percaya dan mengharapkan 100% pada perhatian dan kejujuranku menjaganya. Akupun tidak sampai hati mensia-siakan harapan itu malah selalu berdoa muga Allah tetapkan hati dan perjalananku bersamanya. Biarlah betapa susah, betapa jemu, betapa tertekannya aku dalam rutin menjaga kebajikan dan ragam ibu_suri, aku akan tetap sabar dan ikhlas menjaganya. Muga-muga!

Namun semalam di celah-celah kesibukan ini aku terima panggilan talipon dari Angah. Lalu semalam, semalaman aku berada di IPD Perda. Sekali lagi menerjah ke sana yang entah untuk keberapa kalinya dan entah sampai bila...Huh!

"Ayah, Zam tengah belajar macam mana nak jadi sabar dan tenang macam ayah.." ujar anak saudaraku yang juga memanggil aku dengan gelaran 'ayah' sewaktu memandu balik dari IPD Perda.

Namun dalam sibuk, blog tetap di update 2 hari sekali lantaran menulis umpama minum pagi yang tidak boleh aku tidakkan!

Rabu, 27 April 2011

Satu-satunya Kes Di Dunia

Di dalam sujud terakhir solat Dhuha, aku sempat berdoa untuk kesejahteraan buat sahabat sekerja ku Azimi yang diberitakan akan menjalani pembedahan di HBPP hari ini. Beliau mengalami ketumbuhan di jantung; satu-satunya kes yang ditemui di Malaysia malah khabarnya di dunia. Ini diperakui oleh doktor pakar di IJN.

Harapannya untuk berjaya adalah 20% ke 80%. Aku umpamakan seperti sesaorang itu sedang berjalan untuk melalui satu pintu yang dia tahu malaikatul maut sedang menunggu di situ. Cuma dia tidak pasti adakah waktu itu gilirannya.

Lagi khabarnya, beliau terpaksa mempertaruhkan masa depannya walaupun berkemungkinan hanya 20% harapannya untuk berjaya. Ibarat luah mati emak di telan mati bapa. Kalau tidak dibuang ketumbuhan itu besar kemungkinan dia akan diserang stroke yang lebih hebat.

Senario sakitnya bermula apabila satu hari pandangan dia tiba-tiba kabur. Dia dikejarkan ke klinik dan kemudiannya ke hospital dimana akhirnya dia disahkan di serang minor stroke yang menjadikan penglihatannya kabur.

Sahabatku ini adalah seorang yang baik. Aku amat mengharapkan Allah memberikan yang terbaik buatnya.

Dan aku berharap keluarganya akan terus bersabar dan tenang menghadapi apa jua kemungkinan yang bakal berlaku.

Ameen!…..

Selasa, 26 April 2011

Bihun Goreng Kampung

Ahad lalu aku balik kampung. Tujuannya untuk mengambil set hantaran perkahwinan Angah yang aku minta adik-adik aku buatkan. Daya kreativiti ibu_suri sudah tumpul. Kalau tidak, selalunya dialah yang buatkan hantaran untuk adik-adiknya dahulu.

Foto Hiasan
Terasa letih memandu. Mengantuk. Kerap berhenti membasuh muka serta melonggarkan urat sarat. Mungkin kerana sebelum bertolak aku sempat beriadah di Tasik Mengkuang. Pepagi lagi aku terima sms dari blogger JH mengajak aku join sama berPATT. Aku tanpa fikir panjang bergegas ke sana dengan harapan dapat berjumpa sahabat yang lama tak ketemu.

Di kampung, adikku Duyah yang ditugaskan oleh keluargaku untuk menjaga kebajikan mak yang lumpuh sebelah badan, sempat memasak bihun goreng.

“Bihun goreng kampung ni, Yop. Mesti sedap punya.”

Dan ya.. memang sedap. Persis yang pernah mak masakkan untuk kami semasa kecil dahulu. Besar mata ibu_suri bila melihatkan aku tambah..satu senduk..satu senduk..hingga tegak belakang badanku menahan kekenyangan. Perencahnya simple sahaja. Taugeh dan sambal ikan bilis. Duyah senyum panjang melihat aku berselera makan bihun yang digorengnya. Seronok tengok Yop makan, ujarnya.

“Tau tak satu-satunya jenis sayur yang kita makan dari daun hingga ke akarnya?” Geleng kepala.

“Taugeh ni la…” terangku.

Aku teringat seorang kawanku yang cerewet dengan taugeh. Sanggup dia asingkan satu demi satu taugeh itu dari kelompok mee di dalam pinggannya semata-mata kerana dia pantang. Angin, katanya. Hmmm… muda-muda lagi dah ada pantang!

Sabtu, 23 April 2011

Langit Tidak Jadi Hujan Petir

Semalam, aku ajak ibu_suri makan malam di gerai nasi kandar bersebelahan Public Bank dan Hong Leong Bank di Kepala Batas. Siangnya  aku cuma jamah roti dan kuih sahaja. Terasa lapar sungguh.

Seperti biasa aku dahulukan ibu_suri memilih lauk. Dan seperti biasa juga, ibu_suri lambat untuk memikirkan lauk apa yang dia mahu makan. Kesian si 'aci' itu menunggu dengan senduk di tangan kanan dan pinggan nasi di tangan kiri agak lama. Dipilihnya telor dan sotong. Dah habis pikiaq la tu, bisik hatiku.

Lalu aku memimpin ibu_suri ke meja makan di bawah payung. Aku dapat rasakan langit agak muram. Senang nanti kalaulah tup..tup.. hujan turun tak perlu lari mencari tempat teduh, fikirku. Setelah aku meminta aci ambilkan lauk seperti yang dipesan oleh ibu_suri  beserta sudu dan tisu, aku letakkan di hadapan ibu_suri. Sekali lagi, untuk order minuman, ibu_suri berfikir agak lama untuk 'nak minum apa?'

Setelah selesai aku memilih makanan aku sendiri aku duduk di kerusi sebelah ibu_suri. Tiba-tiba;

"Tengok you ambilkan lauk apa?" Mata ibu_suri terbeliak tajam menerjah jantungku.

Arrgggghh..... macammana boleh terambil limpa dan sotong nih!

Serta merta aku minta sorry dari ibu_suri. Huh! Bimbang sungguh kalau-kalau dia naik angin di tengah orang ramai ini seperti yang pernah aku lalui di zaman ibu mengalami bi-polar disorder tahap 1.

Aku perhatikan sekali lagi wajah ibu_suri. Aku  pegang tangannya dengan lembut sambil cuba membaca riak air muka dan mendalami jiwanya. Aku cuba aleh ke topik lain.

"Jangan sebut perkataan telor tu kuat-kuat. Nanti orang ingat apa pulak?" Dan ibu_suri ketawa terkekeh-kekeh. Ingat blue la tuh. Fuhh... Lega rasa di dalam dada. Langit yang tadinya kujangka akan ada hujan dan petir seperti bergemerlapan dengan bintang-bintang!

Tak dapat kubayangkan jika betul-betul 'hujan dan petir' berlaku tadi...

Khamis, 21 April 2011

Terima Kasih!

Aku melabuhkan tulang belakang ke kerusi panjang. Balik dari rumah mak di Air Itam sejam lalu selepas selesai menghadiri temuduga dengan doktor pakar di GH untuk permohonan kad OKU untuk ibu_suri.

Mata terpaku ke siling rumah yang sawangnya baru sahaja aku bersihkan semalam. Majlis akad nikah Angah insyaAllah - Ahad: 1 Mei 2011. Kurang lebih 10 hari sahaja lagi. Rumah? Hurrmmm...

Sebenarnya aku ingin berterima kasih pada sahabat serta adik beradik yang banyak menolong aku. Tak kiralah samada di sudut wang ringgit, tenaga hatta nasihat. Masing-masing begitu prihatin ingin membantu. Walaupun dadaku semakin kuat gelombangnya tapi aku buat biasa sahaja. Senyum dan ketawa hingga ada yang menyangka aku begitu gembira hendak menyambut menantu. Sebenarnya mereka tidak tahu aku sedang menyorok resah di sebalik senyum dan tawaku itu. Pendekata, siapa yang pernah melalui, fahamlah bagaimana perasaan aku di saat-saat kritikal begini.

Aku ambil positif pada setiap yang datang kepadaku bertanya khabar dan mencadangkan pelbagai idea untuk majlis perkahwinan Angah. Ada yang bagi idea A dan yang lain pula bagi idea B untuk hal yang sama. Aku angguk saja. Malah ada yang nampak seperti marah-marah bila kelihatannya aku seperti tidak mempraktikkan saranan mereka.

Wajah Tenang Abdul Rahman Sudais
Aku harap sangat Along akan balik awal untuk membantu aku touch up mana-mana yang patut di dalam rumah. Sebenarnya, tenaga dan pemikiranku sudah ditahap tepu. Mana tah lagi nak melayani rutin aktiviti ibu_suri yang 100% mesti diipenuhi.  

"Abang, pi la mandi. Dah dekat pukul 9 ni. Bawa I pi ronda..."

Walaupun terasa amat berat untuk mengangkat badan, aku capai juga tuala. Aku tiba-tiba teringat pada Abdul Rahman Sudais, Imam Besar Masjidil Haram yang mungkin masih memberi kuliah Maghrib di Institut Ibnu Qayyim. Betapa seronoknya kalau berada di sana sekarang ini.

Apa-apa pun, terima kasih pada blogger JH yang selalu mengingatkan aku pada solat sunat Dhuha!