Jumaat, 31 Ogos 2012

Episod baru

sumber foto

Walaupun sebenarnya aku agak kantuk namun kemahuan membaca blog dan bercit-cat dengan seorang rakan FBku - MM, buat aku gagahi juga mengetuk biji-biji keyboard ini.

Aku cuba menyelami hati terkini MM dan memberinya serba sedikit nasihat dan peransang untuk dia terus positif dalam mengharungi hari-hari hadapannya. Aku memang suka berkongsi pengalaman dan nasihat dengan orang lain selagi mana aku rasa dia sudi mendengar walaupun aku tahu aku pun tidaklah setara mana sempurnanya.

Ntahlah... Sesekali fikir ada lebih baiknya hidup aku ini beramuankan dengan ujian hidup dari Tuhan. Yang dengan itu akan membuatkan aku selalu mengingati dan mengharap kepedulianNya. Jika aku selalu diberi kemewahan dan senanghati pastinya aku akan lupa diri dan lupa Tuhan.

Tips yang disarankan oleh blogger Jendela Hatiku agar aku selalu melakukan solat Hajat begitu bermakna buat aku. Aku berazam untuk melaksanakannya berpasangan dengan solat Dhuhaku setiap pagi.

Aku adalah aku dan cuba berbuat semampu mungkin untuk memperbaiki diri. Walaupun kerap juga terjatuh, aku akan cuba bangun dan meneruskan perjalanan ini.

Sekarang ini aku sudah mula berjinak-jinak dengan masjid yang kalau dulunya aku memberi alasan kekangan dari anak dan isteri untuk tidak selalu menjejaki rumah Tuhan ini.

Aku beli kopiah baru dan berkualiti; aku beli kain baru dan berkualiti; dan aku sarong semula baju Melayu buatan tangan ibu_suri yang masih ada di dalam almariku. Aku dengan penuh rasa keinsafan ingin memulakan episod baru dalam hidupku. Aku ingin pinggirkan kisah-kisah lama yang kelabu dan ingin isi diari hidupku dengan aktiviti baru yang lebih menggembirakan aku. Doakan....

Rabu, 29 Ogos 2012

5S

sumber foto

Aku masih baloq (malas) untuk mengemas rumah lepas Raya ini. Seluruh pemikiran tertumpu pada odit TS19649 yang akan dijalankan pada Isnin hingga Khamis minggu depan. Di ofis aku saja para auditor akan odit hampir setengah hari. Bagai nak demam pun ada.

Kekadang terfikir pula; ini baru odit oleh SIRIM di dunia. Bagaimana pula kalau odit oleh Munkar dan Nakir di alam Barzakh nanti? Dan lebih dasyatnya di Padang Mahsyar kelak?

Odit SIRIM sudah diberitahu bila tarikhnya sedangkan odit oleh Tuhan tak tahu bila. Boleh jadi esok. Boleh jadi lusa. Kalau sekadar odit oleh SIRIM dah rasa nak deman entah macammana pulak bila tiba-tiba ternampak malaikatul maut di tepi katil yang menanti saat terbaik untuk mencabut nyawa.

Telah banyak ujian Allah aku tempuh. Malah hingga pernah ke tahap aku tidak boleh lagi berfikir yang akhirnya aku mengambil keputusan untuk tidur di masjid selepas sembahyang sunat dan doa panjang semasa sujud terakhir. Dengan harapan bila bangun nanti Tuhan akan beri aku gerak hati ke arah jalan mana yang didorongiNya.

Aku percaya pada pertolongan Tuhan. Aku percaya pada ketinggian tawakkal akan memberi kita kekuatan untuk terus mendepani segala permaalahan hidup.

Aku harap anak-anak aku akan sekuat semangat aku bila menempuhi apa saja ombak dan badai yang menerjah kehidupan mereka yang masih baru ini.

Apapun, odit minggu depan ini tetap pasti aku hadapi. Selepas selesai odit ini; kalau apa jenis OFI atau CAR yang aku akan dapat, aku kena terima. Pun, aku masih mengharapkan keajaiban dari Tuhan untuk menjadikan semua proses odit berjalan sebaiknya.

Aku ingin mulakan hidup baru. Hidup yang lebih ke arah mendekati Tuhan. Anak-anak sudah besar dan punyai hidup sendiri. Emosi ibu_suri juga sudah lebih stabil sekarang ini berbanding 2 ~ 3 tahun dulu. Walaupun letih jasmani kerana melayani kehendak dan menjaga kebajikannya, itu sudah jauh lebih baik dari awal sakitnya dulu.

Tuhan..... aku ingin memperbetulkan segala dokumentasi hidupku yang berselerak. Aku ingin 5Skan semula hidupku ini. Beriku peluang untuk hidup 1000 tahun lagi!

Sabtu, 25 Ogos 2012

Silent Reader


Sempat tadi menghadiri majlis perkahwinan pasangan Nadia/Ruzaini, anak kepada jiran setamanku Hasan/Melorwati di Dewan Kondominium Mutiara, Perda. Di situ jugalah sebenarnya lokasi majlis perkahwinan Angah dan Ayu pada 2011 lalu. Dewan ini memang selesa kerana punyai banyak bilik air, luas ruang dewan dan parkir serta ada bilik untuk rehat. Tapi sewaannya pun boleh tahan juga -  RM800.

"I memang kenal kat isteri dia tu." beritahu ibu_suri. Itu cerita-cerita masa ibu_suri masih sihat dan aktif dengan agenda politik semasa.

Tentang isterinya itu adalah salah seorang silent reader blog aku ini tidak pula aku beritahu pada ibu_suri. Takut nanti banyak pula seghongehnya. Susah aku nak jangka.

Menjaga orang seperti ibu_suri ini memang kena bijak mengurus mood dan perasaannya. Semasa bertolak ke Perda ini pun aku pastikan semua keselesaan dan ubatnya disediakan terlebih dulu. Di sepanjang pemanduan, suasana ceria perlu sentiasa di ujudkan walaupun sebenarnya di dalam hatiku berbagai perkara berkecamuk dan menyempit.

Talipon dari Siti tadi pagi masih terngiang-ngiang di telinga;

"Ayah, Akhmal suruh Siti bagitahu ayah. Akhmal nak pergi jumpa mak dia di Setiawan. Dia suruh ayah bawakkan dia ke sana." 

Hati kecil berasa seperti ada sesuatu yang kurang enak. Ufffssss....

Selasa, 21 Ogos 2012

Raya Ke Dua

sumber

Hari ini aku tak beraya ke mana-mana pun selain ke rumah besan di Permatang Rawa. Besan memanggil aku, abang dan ibu_suri sebagai kakak kerana kami lebih tua umur berbanding mereka. Rumah mereka tak jauh dari kilang Allagapa, Bukit Tengah. 

Selain itu aku lebih banyak di rumah. Along dan Angah balik ke Ipoh ziarah mak aku yakni opah mereka. Memang aku selalu pesan supaya selalu ziarah opah atau mak tok mereka. Pesan yang sama mak aku selalu sebutkan kepada aku semasa aku diusia mereka.

Aku ambil kesempatan yang lapang ini untuk solat di masjid yang tak jauh dari rumah di setiap waktu. Terasa amat tenang dan damai bila bersolat bersama jamaah yang aku kira ramai juga - 3 saf. Lebih membanggakan ada ramai generasi muda.

Bagi aku jika kita selalu mengunjungi masjid hati kita mudah menjadi lembut. Dengan selalu mendekati masjid kehidupan kita akan diberkati.

Sayangnya aku tak dapat membawa ibu_suri bersama. Kekadang terasa terkilan juga bila melihat orang lain berpasangan ke masjid sedangkan aku terpaksa meninggalkan ibu_suri bersolat sendirian di rumah.

Tapi tak mengapa. Aku tahu Tuhan lebih mengetahui apa yang terbaik buat aku sekeluarga. Di setiap sujud terakhir solatku aku selalu bermunajat pada Allah agar aku diberi kekuatan mengharungi keseluruhan ujian hidup ini dengan tabah dan sabar.

Ahad, 19 Ogos 2012

Pagi Raya

Setakat ini, Rayaku berlalu seperti yang dirancang. Sayangnya, saudaramara atau sahabat handai tidak ada yang datang. Yang ramai cuma anak-anak jiran. Memang selalu begitu. Sesekali fikir, bagi keluarga seperti aku, budaya anak-anak datang beRaya dari rumah ke rumah ini sesuatu yang bagus juga. Paling tidak, dapat juga mengisi kemeriahan rumahku.

Aku hadkan kepada 30 ~ 40 orang anak-anak saja. Lepas tu aku terpaksa membuat dasar tutup pintu. Tak tahan juga melayani mereka yang kebanyakannya datang hanya nak minta duit Raya.

"Mai rumah pak cik ni kena masuk dulu. Makan atau minum sikit. Barulah beRaya namanya. Tak bagus kalau datang nak duit raya jer."....

Selepas agak-agak mereka dah habis makan minum baru aku bersalaman dengan mereka dan menghulur duit raya.

Khutbah solat sunat Aidil Fitri di Masjid Saidina Abu Bakar tak jauh dari rumahku ini begitu bermakna dan mengesankan. Sejak Pakatan Rakyat ambil aleh pentadbiran Negeri Pulau Pinang, aku perasan yang kebanyakan masjid begitu meriah dengan pengisian agama. Tazkirah, ceramah malah khutbah juga begitu bertenaga dan kontemporari. Namun begitu, menurut pengerusi qariah tadi, masih ada segelintir ahli qariah yang komplen kerana masjid ini mempunyai terlalu banyak kuliah agama.

Masjid Saidina Abu Bakar s Siddiq. Kontraversinya boleh baca di sini

Isi khutbah di masjid tadi, hampir 80%  berkisar tentang wajibnya kita menziarahi, mentaati dan mengenang jasa ibu. Aku sendiri hampir-hampir menitiskan airmata pabila dibawa oleh khatib mengenang jasa makku di kampung. Sebenarnya, apa yang aku alami sekarang ini bersama ibu-suri sama juga seperti yang pernah makku alami bersama abah yang juga menghidap Skizofrenia.

Muga-muga Mak dan arwah abah sentiasa berada dalam rahmat Allah selamanya. Ameeennn....