Isnin, 4 Mei 2020

Catatan Ramadhan ke 11

Hari ini Ramadhan ke 11. Selamat berpuasa sahabat blogku yang masih ingat akan aku. Muga kita berjaya melaluinya hingga ke fajar Aidil Fitri.

Aku sihat sahaja. Ramadhan kali ini, aku pun tak tahu kenapa, tidak sangat terasa letih sebermula dari hari pertama lagi. Tahun tahun sebelum ini selalunya minggu pertama agak longlai sebelum menjadi kebiasaan.

Sekarang ini dah masuk ke fasa 4 PKP. Aku dah mula datang ke tempat kerja sejak Sabtu lepas. Semenjak kawalan pergerakan dilonggarkan oleh pihak penguatkuasa yang menjaga jalan raya di pekan Penanti. Segan kepada majikan yang masih membayar gaji walaupun dah sebulan lebih aku duduk sahaja di rumah. Aku faham, bos aku pun tentunya ada masaalah kewangan untuk membayar saraan kerana bisnesnya tidak bergerak.

Terbaru, ibu_suri semakin sukar berjalan. Sebelum itu ibu_suri memang mengalami masaalah sakit lutut. Tidak mampu berdiri lama.

Musim PKP pula membuatkan ibu_suri terperap di katil 24 jam, tidak lagi dapat aku bawa berjalan-jalan setiap malam seperti kebiasaan. Berat badannya semakin naik. Mandi pun terpaksa duduk di kerusi roda.

Rabu lepas aku bawa dia ke Hospital Bukit Mertajam, jadual ambil darah. Semasa turun dari kereta dan naik ke kerusi roda memang dah terasa bermasaalah untuk berdiri. Selesai ambil darah, ibu_suri kembali ke kereta. Semasa bangun dan hendak mengalih punggung dari kerusi roda ke kerusi kereta, ibu_suri terjelepuk jatuh ke atas jalan raya.

Aku memang tak boleh berbuat apa-apa melainkan menjaga kepalanya supaya tidak terhantuk ke kereta atau ke kerusi roda.

" Mau panggil orang tolong ka? " seorang wanita Cina bertanya pada aku.

Aku angguk.

Sekejap sahaja ramai staf hospital lelaki mengelilingi kami berdua.

" Saya tak mampu nak angkat dia. "

Dipendekkan cerita, ramai yang cuba mengangkat ibu_suri tapi tak berjaya. Tak bergerak pun.

" Istri saya OKU mental. Ada masaalah nak berkomunikasi dan berfikir secara cepat dan logik, " terangku.

" Takpa.. takpa... "

Ada yang memberi cadangan membawa stretcher, guna kain yang khas untuk mengangkat pesakit dan ada juga yang mencadang membawa ambulan.

Nasib baik ada seorang yang agak muda dan berbadan besar, memakai baju seragam berwarna hijau muda datang kepada ibu_suri. Di masa ini pada aku, aurat sudah menjadi nombor dua. Yang penting ialah memastikan keselematan ibu_suri.

Airmata ibu_suri dah mula mengalir. Dia dah mula putus harap. Sikap ini menambah sukar nak membantu dia.

" Pegang tengkuk saya dengan ke dua tangan kamu.  Bila saya tarik, kami tolak dengan kami kamu bangkit. Cuba... cuba... "

Bila terangkat sahaja punggung ibu_suri dari jalan, aku dan beberapa orang lain menampung punggung ibu_suri membantunya bangun. Seorang lagi masuk ke dalam kereta membantu.

Akhirnya, selamat ibu_suri ke dalam kereta.

Aku tidak terus balik ke rumah sebaliknya bawa ibu_suri berjalan-jalan melihat bandar Perda, Seberang Jaya dan Permatang Pauh yang dah sebulan lebih tidak dilihatnya. Tujuan aku ialah untuk mententeramkannya yang mula gelisah kerana ternyata dia sudah ke tahap tidak boleh berdiri lagi.

Aku pun tidak tahu nak buat bagaimana. Berfikir dan cuba mencari solusi. Susahnya sebab ibu_suri sendiri yang tidak boleh mengusahakan diri sendiri untuk berbuat sesuatu untuk dirinya.

Makan tak boleh kontrol. Minum juga. Bila aku suruh buat senaman, ada la 1~2 round, kemudian dia tak mahu. Mengadu sakit sana sini. Aku pun bukannya larat juga.

Entahlah, aku harap sahabat blogku semua doakanlah yang baik-baik buat kami berdua.

Di bawah ini ialah klip video cucuku yang ke3 - Uwais Rizqi. Cucu alaf baru. Yang menjadi kerinduan dan penghibur hati ibu_suri selalu.

Semakin cerdik dia sekarang...



Selamat berpuasa dan menjalani ibadah. Jaga kesihatan ya!

5 ulasan:

Suria Amanda berkata...

Semoga allah permudahkan buat ibu suri, selamat berpuasa dan semoga tabah hadapi dugaan..SA pun sama..mak SA sakit semula 2-3 hari ni...tekanan darah sangat rendah

Kamsiah yusoff berkata...

Dpt bayangkan bagaimana keadaan ibu suri masa jatuh..sbb saya kalau jatuh pun mcm tu jgk..berat cuma 49kg tp dek air yg bertakung dlm perut,menjadi 79 kg..tak sabar nk buat angiogram

Umialya berkata...

Mg kesihatan ibu suri semakin baik, aamiin..

Warisan Petani berkata...

Semoga dipermudahkan urusan penjagaan dan perawatan ibu_suri.

MunirahMH berkata...

semoga Allah beri kekuatan dan kesabaran serta dipermudahkan dalam merawat ibu suri