Isnin, 1 Ogos 2022

Sesekali Gementar...

Hari ini dah 1 Julai 2022. Masa terus berlalu meninggalkan peristiwa menjadi kenangan. Hujung minggu lepas aku terperap sahaja di rumah. Malah akhir-akhir ini memang begitu.

Aku seperti ketandusan aktiviti. Rakan-rakan IKRAM aku pun samada memang tiada aktiviti atau aku tidak diberitahu. Sejak lepas PKP memang serba serbi perlahan malah pakum. Aku pun tak ada hati nak bertanya.

Memerap di rumah pun aku bukannya buat apa. Makan, tidur, tengok tv, dengar lagu atau belek fb. Kemas rumah pun tidak ( dah berdebu ). Makan pun ala kadar sahaja. Kekadang nasi dengan telur, makan biskut dan mi segera. Kosong hidup ini.

Lama dah aku tak ziarah pusara ibu_suri. Tapi aku pasti, pusara ibu_suri terjaga dengan baik kerana si penjaga tanah perkuburan itu seorang yang rajin menyelenggara. Bersih dan setiap pusara yang tidak sempurna bentuknya disempurnakan semula.

Aku bercadang mulai sekarang ini aku nak balik kampung dua minggu sekali sementara mak masih ada. Khabarnya mak semakin uzur sekarang. Mula memakai lampin. Kasihan pada adik perempuanku - Duyah yang menjaganya. Kekadang terbaca keluhan dan kekusutan hatinya dalam grup wasap. Aku hanya boleh menarik nafas panjang dan meminta maaf kerana sebagai anak lelaki dan sulong tidak berjaya melaksana tanggung jawap sebagai anak atau abang.

Aku sendiri pun entah berapa lama boleh bertahan dan berdikari. Gigi pun sudah banyak yang gugur sendiri. Termasuk yang terbaharu.... 7 batang. Sikit hari agaknya aku terpaksa memakai gigi palsu. Satu keadaan yang dulu aku hanya melihat pada opah aku.

Blog ini adalah teman aku paling setia sejak 2008. Aku harap, aku dapat terus mencatat perjalanan dan rasa isihatiku ke dalam blog ini walaupun aku tahu anak-anakku malah adik beradikku tidak membacanya ( lebih baik begitu ).

Semalam, seorang sahabatku semasa bersekolah menengah rendah Anderson Ipoh - Husin Pak Wan, meninggal dunia di Mekah. Husnul khotimah.

Entah bila pula giliranku. Sesekali fikir gementar juga sebab bekalan baikku masih 0.0000 dan entah berapa sifar lagi!



1 ulasan:

Wak Lat berkata...

salam singgah bang, 👍👍