Selasa, 7 September 2010

Smile Is The Best Medicine

Pabila ibu_suri menggelengkan kepala tatkala ditanya di mana langsir pintu Hari Raya lepas, neuron dalam otakku mula berkocak deras. Aku memandang pintu rumah. Hmm... nampaknya kitar semula langsir inilah.

Bila saja aku turunkan langsir itu baru aku sedar rupanya rumah aku hanya bersih di luar tetapi berdebu di belakang. Hampir setengah hari aku bersilat di anjung rumah. Mengemop lantai, vakum siling dan membasuh langsir. Mak aii... berat langsir itu seberat tugas suri rumah, rupanya!

Di masa yang sama aku teringat anak-anakku. Apa yang hendak dihidang kalau kawan-kawan mereka datang beRaya. Lebih-lebih lagi kalau bakal besanku bertandang kelak?

Aku menghantar mesej pada kakak iparku yang tinggal di Bertam, bertanyakan kuih raya. Aku jumpa kawanku yang selalunya menjual tempeyek, antara makanan kegemaranku. Aku tempah 3 bungkus. Aku teringat minuman botol HPA. Sarsi dan Ice Cream Sodanya, sedap. Aku akan beli beberapa botol untuk dihidangkan pada tetamu. Ringkas dan cepat prosesnya. Sementelah, aku bukan pandai sangat nak buat sirap atau jus oren.

Aku jengah bilik anak-anak. Uhh... macam kapal karam. Semua ini perlu aku sempurnakan. Puasa tinggal 3 hari sahaja lagi. Sempatkah aku?

Aku bimbang juga dengan keadaan ibu_suri yang mutakhir ini kuat tidur. Sesekali dia mengeluh dan bertanya aku kenapa dia jadi begitu. Aku pun menggaru kepala yang tak gatal. Apa yang boleh aku kata melainkan.... jangan bimbang. Abang akan ikhtiarkan untuk cari ubat. Sabar ya...

Namun, bila di luar; bersama rakan-rakan dan saudara-mara aku tetap bersikap seperti tiada apa-apa. Aku percaya pada falsafah hidup; Smile is the best medicine!

Kini aku mula memahami kenapa para surirumah begitu ambil berat tentang persiapan Hari Raya. Semua ini untuk kesejahteraan dan kegembiraan anak-anak dan suami juga!

Ahad, 5 September 2010

RAYA

Baru perasan rupanya dah hampir RAYA
Baru perasan rupanya Puasa hampir ke hujungnya
baru perasan rupanya Lagu RAYA mula berkumandang mengatasi lagu Ramadhan
Baru perasan rupanya orang lebih suka shopping kuih RAYA daripada kurma
Baru perasan rupanya orang mula kalut ke pasaRAYA daripada berterawih di masjid.

Baru perasan rupanya orang dah mula mengira cuti RAYA
baru perasan rupanya orang dah mula ke bank mengeluarkan duit untuk beRAYA
baru perasan rupanya orang dah mula mengantung langsir RAYA
baru perasan rupanya orang dah mula hantar servis kereta
Baru perasan rupanya ada yang dah mula balik kampung untuk beRAYA.

Mungkin ada yang terlupa masih ada orang yang tak kisah pasal RAYA
orang gila
penagih
dalam penjara
Mungkin ada yang terlupa ada orang yang hari RAYA pun akan berpuasa
orang papa
pemgemis
Mungkin ada yang terlupa untuk balik kampung berhari RAYA.

.
.
.
.

Hik! Hik! Hik!
.
.
.
.

Aku pun baru perasan rupanya minggu depan RAYA
Aku terlupa bahawa tiada siapa lagi yang boleh diharap untuk melangir rumah supaya seri hari RAYA
Aku terlupa bahawa anak-anakku juga aku perlu ambil kisah RAYA mereka
Aku terlupa bahawa mak di kampung belum lagi di hantar duit RAYA
Aku pun tak perasan berapa rakaat sudah aku berterawih menjelang RAYA.

.
.
.

Hik! Hik!

.
.
.

Aku termenung melihat sejadah di ruang tamu
Aku berteleku memandang langsir yang masih berdebu
Aduhai ibu_suri, mana perginya langsir kita yang dulu?


langsir RAYA 2008


Kemas rumah hmmm... tak tahu nak mula dari mana!

Sabtu, 4 September 2010

Rindu

Menjelang ke 24 hari Ramadhan aku mula terasa pancit. Letih jiwa raga. Berat rasanya memikul tanggungjawap menjaga keluargaku ini sendirian.

Itupun kira alhamdulillah juga. Cuma menjaga seorang isteri dan 3 orang anak. Bukan 1 team bola macam sahabatku di Permatang Janggus itu. Hik!


sebahagian dari anak-anak sahabatku itu. Sesekali melihat keletah mereka, rasa terhibur.

Khamis lepas aku bergegas balik kampung berdua dengan adikku yang tinggal di Kulim. Tanpa pengetahuan ibu_suri sebab respon ibu_suri bila diajak balik agak negatif.

Jumaat pula cuti kerja lagi kerana perlu rujuk Akmar di klinik Kubang Semang sebelah pagi dan ke Jabatan Kebajikan Masyarakat lepas sembahyang Jumaat. Kerja-kerjaku di ofis tentunya sedang menimbun.

Entah kenapa ibu_suri sejak dua menjak ini asyik tidur je. Bila aku tegur dia membentak.

Bangun sahur jam 4.30 pagi. Kekadang sampai tak tahu nak masak lauk apa untuk makan. Pernah terlupa pesan Angah beli lauk, terpaksalah aku merekacipta lauk dengan apa yang ada.

"Pasal apa bau lain macam je ayah?"

"Apa la ayah.. Asyik hangit je 2-3 hari ni!"

Kekadang bila singgah di Bazaar Ramadhan, 2-3 kali ulang alik kerana hampir tak tahu nak beli lauk apa. Balik-balik ayam, daging, ikan keli, ikan bawal... Balik-balik kuih tepung talam, karipap, cucur udang....uffsss... macam takda lauk lain lagi kat atas dunia ni...

Namun apa nak dikatakan lagi. Sabar ajelah menempuh sisa hidup yang tinggal sedikit ini. Aku berdoa muga-muga di usia yang masih berbaki ini aku sempat menjaga ibu_suri hingga akhir hayatnya dan melengkapkan bekalanku ke sana.

Seseakali bila melihat adik-adik dan rakan-rakanku tampak bahagia dengan keluarga dan masih boleh menjalankan aktiviti kemasyarakatan, aku merasakan diriku amat kerdil....

Aku rindukan suasana itu. Rindu sesangat!

Jumaat, 3 September 2010

Aku Sebagai Ayah

Aku cuba memahami jiwa anak-anak aku yang aku sendiri sedar atau tidak tau-tau melihat mereka terpampang dewasa di hadapanku. Sudah bergelar anak muda. Berbadan sasa, tinggi dan cergas melebihi aku yang mula kerepot.

Aku cuba menggauli mereka seumpama kawan tanpa merendahkan martabat aku sendiri sebagai ayah. Lantaran itu aku selalu cuba berbual dengan nada yang sama dengan nada mereka. Cuba berbincang dengan menerima pandangan mereka dan memberi alasan yang berlapik jika tidak bersetuju.

Along kini 24 tahun. Angah pula mencecah 23 tahun. Dan Akhmal telahpun melepasi 17 tahun. Untuk menseimbangkan isi dan citarasa perbualan kami, aku perlu menjadi pemangkin. Bila aku berbual dengan Angah sementara Akhmar mendengar, aku cuba untuk tidak membiarkan Akhmar menguap kerana topik perbualan kami tidak mencecah tahap IQ Akhmar. Aku cuba menjadikan perbualan itu berlaku secara timbal-balas 6 mata.

Bukan mudah juga hendak menjadi bapa yang dihormati oleh anak-anak. Aku tidak boleh ego dan terlalu bercerita tentang kehebatan aku masa muda dahulu. Aku perlu akur bahawa zaman aku tidak sama dengan zaman mereka. Aku masih ingat pesan Nabi kita yang mahfumnya; didiklah anak-anak kamu sesuai dengan zamannya.

Aku harap aku akan dapat menjadi ayah yang dihormati dan disegani oleh anak-anakku. Aku tidak mahu mereka menyegani aku kerana ketegasan yang melampau. Segani aku kerana tidak boleh tidak mesti patuh dengan apa sahaja arahan aku.

Aku mahu mereka hormati aku kerana aku adalah ayah yang menghormati pandangan mereka. Yang menjaga hak-hak mereka sebagai anak di zaman siber ini. Dan mereka menghormati aku kerana jujur dan ikhlas membesarkan mereka untuk menjadi manusia.

Aku harap aku tidak salah mendidik mereka dan mereka pula tidak menyalahkan aku kerana tersalah mendidik mereka.

Aku mahu mereka akan menghormati aku sepertimana aku menghormati abah aku dahulu, kini dan selamanya!

p/s: takziah buat keluarga Nyah Azki atas pemergian Mak Nyah ( rujuk entri Balik Kampung )ke Rahmatullah semalam akibat sakit tua.

Rabu, 1 September 2010

Di Sebalik Rumah Batu

Aku masih ingat. Beberapa musim Ramadhan yang lalu. Tika itu aku masih aktif dengan JIM sebagai setiausaha. Rutin aktiviti bila menjelang Ramadhan ialah membuat sumbangan kepada keluarga yang memerlukan di sekitar daerah Seberang Perai Tengah. Punca wang sumbangan adalah dari ahli JIM atau ahli luar JIM.

Aku banyak bertemu dengan keluarga susah. Yang susahnya mereka itu kekadang tidak pernah terlintas di benakku sebelum ini. Seperti tidak logik tapi kenyataannya di depan mata.

Aku dan rakan-rakan singgah di sebuah rumah. Ada suami yang lumpuh kedua belah kaki. Isterinya cuma terbaring di katil lantaran tua dan uzur, Anak perempuannya baru balik dari kerja.

"Saya kahwin dengan isteri saya kerana kasihan pada dia. Dia lebih tua dari saya tapi saya tak kisah. Demi mahu menjaga, saya mengahwininya."

"Selain dari dia (anak perempuan), kami ada seorang lagi anak lelaki. Tapi..... tu dia la... Nak cakap pun salah... tak cakap pun salah."

Rupanya, anak lelaki yang dimaksukan itu tinggal hanya beberapa jengkal dari rumahnya. Tapi anak lelakinya ini tidak pernah ambil peduli hal mereka. Malah, tingkap yang menghala ke rumah mereka pun di tutup. Anak-anak mereka di larang dari bermain di rumah pak cik ini.

Begitu kering dan dangkal sikap anak lelakinya itu.

"Terlalu dengar cakap isteri," celah anak perempuan pak cik itu.

"Tuhan sajalah yang membalas jasa baik anak-anak semua. Jarang ada orang yang datang bagi sumbangan kat pak cik ni." sambil mengesat airmata.

Beginilah dunia. Di sebalik rimbunan pohon yang rendang dan rumah batu yang tersergam indah di kiri kanan jalan yang saban hari kita lalui, rupanya jauh ke dalam ada rumah usang yang penghuninya amat memerlukan kasih sayang dan rasa prihatin dari insan seperti kita, rakyat marhaen!