Khamis, 1 April 2021

Catatan Sebelum Keluar Ofis

 Ambil sedikit masa sebelum tutup pintu ofis untuk update blog yang dah lama sepi ini.

Banyak perkara yang terjadi sepanjang masa ini tak dapat aku rakan ke dalam blog ini sebagai simpanan masa depan. Entahlah... makin tumpul minat aku menulis ini walaupun rasa bersalah dan rasa rugi itu selalu membuak di hati.

Sejak tahun ini aku mengalami sakit sendir jari yang teramat. Adakah aku mengalami artritis? Bila aku ajukan kepada doktor baru baru ini dia kata bukan. Tapi aku tak yakin akan jawapan doktor sebab doktor tak check apa apa pun sebaliknya hanya memberi jawapan spontan.

Sakit sendir ini menyebabkan aku susah untuk membuat kerja dengan pantas dan sempurna lebih lebih lagi untuk mengurus ibu_suri seperti menukar lampin, membersihkan najis dia bila berak atau membersihkan badannya setiap hujung minggu seperti yang sepatutnya.

Cuma yang menyejukkan hati aku ialah bila mendengar ceramah agama yang menyebutkan bahawa sakit sakit kita semasa di dunia jika kita terima dengan hati yang reda dan terbuka akan menghapuskan dosa dosa kecil kita masa lalu. 

Harapnya begitulah sebab sejak akhir akhir ini aku kerap sangat teringat kepada mak dan arwah abah aku. Yang semasa aku masih muda dan punya kerjaya amat sedikit sangat berbakti kepada mereka. Aku terlalu sibuk dengan kehidupan aku sendiri.

Aku terasa sangat bahawa kehidupan aku ini tiada keberkatannya...

Selasa, 2 Mac 2021

Salam...

Lama dan memang jarang dah menulis. Bukan tidak ingat, bukan tidak rindu pada blog aku ini tapi keadaan diri menyebabkan kemahuan menulis itu tumpul.

Aku harap sahabat lama blogger dan sahabat blogger baruku sihat dan tenteram dalam menghadapi kehidupan yang penuh liku dan berbagai warna ini. Dan tidak lupa kepada Insan Marhaen ini.

Umur aku sekarang menghampiri 61 tahun. Warga emas dah nampaknya. Tenaga pun dah kurang. Jiwa pun dah tak cukup kuat untuk menahan segala permasaalahan. Kekadang terasa seperti badan sahaja yang memikul tanggungjawap tetapi hati terasa seperti mahu pergi jauh-jauh menyendiri.

Akhmal baharu sahaja keluar dari penjara setelah setahun di dalam. Walaupun aku tidak nampak apa-apa perubahan yang positif terhadap diri dia aku harap dan telah pun berpesan kepada dia supaya mula berusaha memperbaiki diri. Aku mahu dia boleh berdikari dan urus dirinya sendiri sebab hidup aku ikut secara naturalnya tidak lama di dunia ini.

Aku tidak mahu terlalu memikirkan pasal masa depan dia. Dia lelaki. Bak kata P Ramlee, ulat dalam batu pun boleh cari makan.

tentang ibu_suri pula semakin nanar dengan halusinasinya. Beriya iya dia suruh aku pergi buat repot kat balai polis. Dan menyuruh pergi ke pejabat lawyer supaya menyaman 'orang-orang' yang selalu dia lihat di dinding dan siling biliknya.

Mereka itu (menurutnya) telah berkeluarga di sini sejak dia masuk hospital awal tahun lalu. Mereka kawal penghawa dingin, mereka kawal almari baju.

Bila dia 'merepek' begitu aku perlu seolah memberi perhatian apa yang di katakan. Kalau aku dilihat seperti acuh tak acuh, nada suaranya akan tinggi dan mula menengking aku.

Memang susah menjaga seseorang yang menghidap bi-polar disorder ini. Tahap sabar dan tenang kena tinggi tahap super gaban.

Aku selalu teringat akan kata-kata doktor dulu semasa dia mula menghidap minor stroke dan di kesan menghadapi bi-polar. Kata doktor - istri awak ini jika tidak dijaga dengan baik, dia akan boleh jadi seperti orang yang bergelandangan di jalan raya. Bercakap seorang diri malah boleh sampai ke tahap berkeliaran tanpa pakaian.

Mengenang itulah aku cekalkan hati menjaga istriku ini. Walaupun pernah beberapa kali aku mengadu kepada doktor pakar psikiatrik akan tidak tahannya aku menjaga kerenah istriku ini, doktor menyarankan aku memberi lampu hijau untuk doktor mengarahkan polis dan pihak hospital mengambil istriku di rumah dan membawanya ke hospital sakit jiwa. 

Fuhhh...

Rasanya aku telah menggunakan seluruh masa senang, wang, tenaga dalam menjaga istriku ini. Aku selalu berdoa kepada Tuhan, jika Tuhan mentakdir antara manakah dalam kami berdua yang Dia ingin mengambil nyawa, biarlah nyawa istriku yang diambil dahulu.

Kalau aku yang pergi dahulu, siapalah yang mampu menjaganya sebagaimana aku...

Isnin, 1 Februari 2021

Nasi Goreng

Beberapa hari ini ibu_suri asyik request aku masak nasi goreng sahaja untuk sarapannya. Tak kira siang malam. Pukul 4 pagi pun dia pernah gerak aku dari tidur kerana katanya lapar dan minta aku masakkan megi atau nai goreng. Dalam pada aku merungut-rungut pun aku bangun dan ke dapur juga.

Tengahari ini pun dia nak aku buatkan nasi goreng untuk dia. Jadi on the way balik dari ofis, aku singgah beli nasi dan ikan goreng masin.

Balik rumah aku ambil isi ikan masin itu dan aku gaul ke dalam nasi. Aku kena hati-hati memilih menyisih tulang. Kalau tersilap makan oleh ibu_suri aku juga yang akan susah nanti.

Aku tak pandai dan malas masak sebenarnya. Setakat telor dadar boleh la. Tapi... pung pang pung pang... siap jugalah dengan berpeluh-peluh di dapur.



Yang bagusnya, habis sepinggan dibedalnya.

"Abanag tak mahu ke?" tanya dia bila nasi itu tinggal cuma lebih kirang 4 sudu. Memang macam tu la selalunya dia.

"Takk... Abang ada beli nasi lain.."

Kalau ikutkan hati, malas aku nak beli pun jauh sekali memasak. 

Malam ni dia nak makan nasi dengan lauk sardin semalam.

Esok aku cadaang nak beli udang kering. Masak nasi goreng udang kering pula, ntah apa pula rasanya nanti.

Khamis, 28 Januari 2021

Aku Sangat Lelah!

 Aku berasa amat lelah, Tuhan...



Ampunkanlah aku...


Sabtu, 23 Januari 2021

Blogger Kasim Selamat

Aku pasti blogger otai sezaman aku hampir terlupa kepada blogger Kassim Selamat@Lagenda Buta atau nama sebenarnya Jasni Ibrahim.

Beruntung rasanya bila aku bertemu semula dengan akaun fb pertamaku dulu dan boleh membukanya semula setelah bersusah payah mendapatkan katalaluan.

Yang nak aku ceritakan ialah betapa rasa teruja bercampur sayu bila terbaca semula catatan dari fb blogger Kassim Selamat ini.

Beliau adalah aktivis politik tetapi ditakdirkan Tuhan terlibat dengan kemalangan yang menjadikannya lumpuh.

Boleh ikuti salah satu kiriman fb beliau di sini:

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10152217975998951&id=686263950

Kali terakhir beliau menghantar kemaskini fb beliau ialah pada 2015. Kemungkinan besar itulah kiriman terakhir beliau sebelum dia pergi menghadap Ilahi.

Muga Allah rahmati beliau di sana bersama-sama dengan mereka yang soleh.

Al Fatihah!