Jumaat, 27 Februari 2015

Gagang Talipon

Induksi
Mengambilkira saranan Angah di sini, aku bawa ibu_suri keluar makan tengahari. Kemudian singgah di Perodua Juru untuk tengok perkembangan pembaikian Viva aku yang terlibat kemalangan di sini.

Alhamdulillah, Paling lewat awal minggu depan boleh ambil. Legalah aku nanti sebab dah boleh pandu kereta sendiri. Pinjam kereta orang walaupun ianya milik anak sendiri pun rasa serba salah juga dibuatnya selama ini.

Kemudian aku singgah Rapid Wash kat Petronas Seberang Jaya. Aku suka polish kereta di sini sebab cuciannya tidak menggunakan mesin sebaliknya guna tangan. Kata bidalan; orang berbudi kita berbahasa. Bila pulangkan semula kereta yang dipinjam kepada tuan mestilah dalam keadaan merelit dan penuh petrol di tangki. Itu saja cara yang terbaik sebab kalau bagi duit kemungkinan besar Angah tolak.

Malam... jam 7 aku bergegas ke pejabat IKRAM di Taman Kelasah. Hadiri majlis iftar (walaupun sebenarnya aku tidak pun berpuasa sunat) dan program induksi. Program induksi adalah program penerangan tentang latarbelakang jamaah, suaikenal sesama ahli baru serta solat berjamaah. Rata-rata yang hadir adalah anak muda. Bila berbual dengan mereka tentang usia ternyata mereka sebaris dengan Along dan Angah.

Selesai program, aku balik ke rumah. Bawa ibu_suri keluar pekan untuk beli sedikit barang dapur. Sambil memandu, otak aku asyik memikir tentang wassap Akhmal tadi, berhasrat untuk tinggal bersama maknya di Setiawan.

Aku teringat talipon rumah yang aku guna semasa anak-anak masih kecil 15~20 tahun dulu. Selalunya bila berdering, kita akan angkat talipon itu menjawap panggilan. Selepas selesai perbualan, talipon itu akan di letakkan semula ke gagang.

Begitukah agaknya Allah mentakdirkan perjalanan hari depan Akhmal?

Khamis, 26 Februari 2015

Semalam

Semalam aku benar-benar dalam kecamuk. Akhmal mengamuk. Menerpa dapur dan menggenggam semua pisau yang tersimpan di atas kabinet dapur. Dia mencari CT. Ntah apa sebabnya yang dia  marah sangat.

Tapi yang aku pasti, dia dalam kondisi 'tak stabil'. Aku panik. Cuba menalipon Angah. Tapi talipon aku pula buat hal. 

Aku ke rumah biras, ingat nak minta tolong. Mereka juga tak ada. Nasib baik Ema (anak saudara) datang. Ada juga penyejuk suasana dan teman aku secara tak lansung.

Aduh... Akhmal... Akhmal...

Aku sembahyang dan sujud lama-lama minta pertolongan dari Tuhan. Semasa memandu, semasa menunggu talipon di periksa oleh pekedai, semasa semuanyalah itu... aku berbisk dalam hati... berdoa minta Allah membantu.

Akhmal benar-benar mengamuk. Merapu, mencarut dan menengking... semua ada.

Sesekali aku teringat kepada mak Akhmal di Setiawan. Maafkan aku... kak, kerana gagal menjaga Akhmal sebaiknya!

Akhirnya, kemuncak dari segala tekanan dalam diri, aku tidur di lantai berbantalkan lengan sehinggalah Angah balik dari kerja.

Malam, Angah datang berbisik kepada aku...

"Ayah, tak usah fikirkan sangat pasal Akhmal. Nanti ayah sakit. Ayah pi lah bawa ibu kemana-mana. Rehatkan fikiran sekejap..."

Rabu, 25 Februari 2015

Klip Video

Selepas bangun dari tidur petang tadi, aku mandi sepuasnya. Aku capai kemeja T merah JIM kegemaran.

Usai solat di masjid, aku akur saja ajakkan ibu_suri untuk jalan-jalan. Lagipun, aku nak santai saja malam ni mententeramkan jiwa yang sikit kecamuk. Memandu sambil dengar zikir Penawar Hati 7 - Munif Ahmad.

Singgah makan malam di gerai Nasi Malam kat Pongsu Seribu. Walaupun lauknya dah tinggal seredak tapi dek malas nak ke tempat lain, cedok saja apa yang ada. Lagipun, laukpauk hatta kuahnya saja pun memang sedap.

Selesai makan, ibu_suri ajak balik ikut jalan jauh. Singgah beli aiskrim di kedai Tabligh, Penanti. Sambil tunggu dia makan, aku tunjukkan dia klip video di bawah. Ada 2 saja kemungkinan bila dia tonton klip video ini:

1. ketawa
2. aku kena marah

Aku gamble je... nasiblah!

klip video 1...



klip video 2...



Bergantang-gantang soalan dia pada aku;

1. dari mana aku dapat video ni.
2. pasal apa video ni asyik cerita pasal/tunjuk orang gemuk.
3. apa pendapat aku tentang dia... adakah dia gemuk dan tak lawa
4. bla... bla...
5. kena cubit...

Apapun, bila balik rumah dia suruh aku tunjuk semula kedua klip video tersebut. Sambil tonton dia ketawa sendirian...

Selasa, 24 Februari 2015

Tabahlah!


Hari ini aku berasa amat tidak bersemangat. Beriadah pagi tadi pun setelah aku paksa diri ini untuk bangun menyarung seluar trek.

Balik riadah, aku beli sahaja nasi bungkus untuk makan tengahari. Malas masak. Ragam ibu_suri dan Akhmal menokok kebosanan aku hari ini.

Tak tahu apa yang berlaku kepada Akhmal. Bunyi perbualan di talipon dan raut wajah dan tingkahnya menggambarkan semua itu.

Dan aku pula tak boleh jauh sikit dari ibu_suri. Ada saja dia memanggil... 

"Abangg... you buat apa? Mai la sini..."

"Abangg... picit la kaki ni. Sakit.."

"Abangg.. nasi ni tak sedap. you perabis la..."

Aku rindu dengan dengan kengkawan. Aku rindu hendak beraktiviti dengan mereka. Mengisi saki hidup dengan berbakti kepada masyarakat luar.

Sebelum keluar beriadah tadi, rutinnya aku isi perut dulu dengan sekeping roti bersama teh puerh. Sambil itu buka laptop membaca facebook. Terjumpa gambar sahabatku - Fuzi Embi (atas) di sini. Kami sesama kerja di Renesas. Sesama pula berhenti kerja setelah terima MSS (sini). Dia kemudiannya kian ligat dengan kerja amal sedang aku lepak saja di rumah.

Selesai urus ibu_suri makan, basuh pinggan dan mandikan, aku ambil bantal dan baring. Ntah bila lelap dalam bebelan.

Aku percaya beginilah juga perasaan dan semangat adikku yang menjaga mak yang lumpuh sebelah badan sejak bertahun-tahun. Baru-baru ini dia menghantar mesej bertalu-talu kat sini.

Aku harap dia akan tetap sabar dan tabah dalam menjaga mak. Memang hanya dialah ayam tambatan keluarga kami. 

Ahad, 22 Februari 2015

Jumpa Mak

Bagi aku, ini antara sesuatu yang hebat juga. Yang perlu aku perakui. Yang wajib aku tempuhi. Dan kena berlapang dada akan hakikat dan kemungkinan apa yang akan berlaku kemudiannya.

Akhmal menghantar mesej semalam...

"Akhmal nak pi rumah mak. Boleh tak ayah?" 

Mak kandung Akhmal tinggal di Setiawan, Perak. Memang dah terlalu lama aku tidak bawa dia ke sana. Lama sejak dia mula keluar masuk balai dan mahkamah. Lama kerana aku terasa amat malu dan bersalah terhadap mak dia atas kegagalanaku menjaga Akhmal selama ini.

Senyap-senyap, aku menalipon Kak Ton, mak Akhmal. Berbicara panjang juga. Sebelum ini Kak Ton ada menghantar mesej pada aku bertanyakan Akhmal. Aku tak balas. Menalipon aku, juga aku tak jawap.

Rupanya sebelum ini pun, Akhmal dah beberapa kali balik ke Setiawan tanpa pengetahuan aku. Yang aku bimbang bukan sangat dia mencari mak dia malah memang sepatutnya dan tidak salah dia mencari dan berjumpa insan yang melahirkan dia. Berdosa aku jika menghalang itu.

Cuma yang paling aku bimbang dan takut kemungkinan berlaku ialah dia akan menyalahkan maknya kerna memberi dia kepada orang lain menjaganya. Aku tahu perangai Akhmal yang hangin itu. Tambahan pula jika dalam keadaan dia tidak stabil dek pengaruh benda 'negatif' itu.

Aku merasakan seperti memasuki fasa baru. Apa yang pernah aku tonton dalam drama Melayu perihal anak angkat seperti akan berlaku kepada diriku. Semua kemungkinan yang pernah aku jangka semasa ibu_suri, adiknya dah abah mertua beiya-iya mahu mengambil Akhmal sebagai anak angkat walaupun aku menentang secara total kini terpaksa aku pikul sendirian.

Tak siapa pun tahu hatta ibu_suri. Aku bekalkan Akhmal dengan wang serta pesanan. Aku berdoa semuga perjalanan, apa yang bakal berlaku di sana dan hasil pertemuan dia dengan maknya nanti baik-baik saja.

Jauh juga Setiawan itu jika diukur dengan perjalanan menaiki motor. Lebih-lebih lagi di musim CNY ini...