Khamis, 30 Julai 2015

Minum Petang


Aku ada muatnaik gambar atas di status fb tadi di sini. Kemudian kakak ipar aku share status itu di fb dia di sini.

Kakak ipar aku ini memang suka share status rakan-rakan fbnya yang mungkin dia rasakan baik untuk dikongsi. Aku, kekadang aje share. Tapi selalunya suka baca sahaja. Kekadang je update status. Ransangan menulis aku lebih kepada blog. 

Aku sekarang ini sedang cuba kawal habit minum 3in1. Ianya bermula bila Raya baru ni aku terlantar di wad. Setiap pagi, misi akan periksa tekanan darah dan gula. Bila aku tanya macam mana dengan tekanan darah, dia kata ok tapi mulut herot bila bagitau tahap gula. Herot juga emosi aku bila dengar jawapan misi tu. Aku tahu, ini semua penangan suka minum air dari vending machine setiap kali breaktime waktu masih kerja dulu.

Teh pu erh yang aku minum di atas itu dikirim secara percuma oleh Sheriffa Fahima. Aku tak kenal dia kecuali melalui fb jer. Bila aku bagitau hasrat untuk beli sebungkus untuk ibu_suri, aku jadi kaget sebab harga sebungkus hampir RM90. Aku minta beli separuh jer sebab tak mampu nak beli dengan harga tara tu punya tinggi. Akhirnya, dia kirim pada aku dengan foc. Rezeki...

Jadi sekarang ni, aku dah jadi biasa minum teh cina atau kekadang green tea. Dalam  stok aku ada banyak jenis teh yang aku kira-kira cukup untuk setahun. Dan teh itu pula aku minum menggunakan koleksi mug yang aku ada. Mug merah di atas adalah koleksi terbaru berian anak saudaraku.

Tapi nak tahu bila aku beritahu ini pada doktor bila bawa ibu_suri untuk rawatan susulan di klinik?

"No... Tak bagus minum teh cina sebab you tak tahu how good is it. Tak ada kajian saintifik tentangnya. Takut nanti dia rosakkan buah pinggang isteri awak..."

Huishhh.... doktor ni....

Rabu, 29 Julai 2015

Tekanan Darah Dan Gula















Kelmarin, semasa bawa ibu_suri jalan-jalan di Bandar Perda, aku tiba-tiba teringin singgah di Farmasi Harmoni. Lama sangat dah aku bertangguh nak risik-risik harga. Kelmarin aku nekad.

Farmasis di situ pun begitu mesra pelanggan melayan setiap pertanyaan aku dan mengeluarkan alat-alat tersebut serta menerangkan setiap fungsinya. Aku pada mulanya sekadar nak bertanya harga dan kemudian membandingkan dengan kedai lain untuk dapatkan yang lebih murah. 

Dan, ingatkan nak beli satu jer tapi bila fikir lebih jauh, ah... beli dua-dua sekalilah. Harganya tiga ratus lebih. Pejam mata....

Semuanya sebab aku rasa sudah tiba masanya aku ada alatan ini di rumah. Senang untuk aku pantau kesihatan ibu_suri yang kekadang ada masanya doktor suruh periksa tekanan darah selang sehari bilamana masa temujanji dengan doktor di klinik, keputusan terutamanya tekanan darah ibu_suri tidak memuaskan. Jadi, daripada setiap awal pagi aku kena bawa ibu_suri ke klinik semata-mata untuk periksa, kini aku boleh buat di rumah sahaja.

Idea nak beli alatan ini timbul masa aku terlantar di hospital Raya baru ni lah. Bila setiap pagi dan petang doktor periksa tekanan darah dan gula, aku selalu bertanya akan keputusannya. Terasa begitu berguna segala data-data itu dalam memantau tahap kesihatan aku. Sejak hari itulah hati aku berbolak balik samada nak beli atau sayangkan duit....

Nah, sekarang timbul satu masalah lain pula. Mentang-mentanglah dah ada alatan ini di rumah, ibu_suri asyik minta periksa saja tekanan darah dia.

"Tekanan darah ok... boleh check selalu. Tapi nak periksa gula... tak boleh!"

"Kenapa pulak?"

"Hat tu, kalau nak check bawak mai RM5."

"Awatnya....?

"Strip dan jarum tu jenis pakai buang. Kalau habis kena beli...tau. Bukan murah pulak tu!"

Aku teringat semasa di Farmasi Harmoni hari tu, seorang pelanggan mau diperiksa gula dan tekanan darahnya. Kena bayar RM15...

Selasa, 28 Julai 2015

Sport Rim


Aku hantar Viva ke Perodua semalam setelah urusan Takaful Etiqa selesai. Kes langgar motor masa puasa aritulah.... sini.

Kata staf Perodua, insyaAllah paling minima 3 hari boleh siap. Mungkin juga cepat sebab mereka tukar sekeping demi sekeping part yang rosak macam bumper dan lampu.

Jadi, buat sementara ni aku pinjam kereta Angah untuk kemana-mana. Wah... best juga bawa  kereta Angah ni. Sterengnya stabil dan pemanduannya mantap.

"Abang pun ingat nak tukar kepada sport rim macam Angahlah... Best kalau jalan jauh. Terasa relaks... " ujarku pada ibu_suri.

"Tukar kereta ajelah...." cadangan balas ibu_suri yang boleh tahan juga telinga aku mendengarnya. Dari dulu lagi ibu_suri asyik merengek suruh tukar kepada kereta yang besar sikit sebab katanya tempat duduk dia sempit.

"You tu kena kuruskan badan... bukannya tukar kereta..." getusku, "kita berdua aje naik kereta ni. Anak-anak semua dah besar. Jadi buat apa beli kereta lain. Guna yang ada dah la... Lagipun Viva ni nak jaga mudah dan parkir pun senang."

Itulah perempuan, fikirku. Ingat nak senang jer.. tukar kereta. Dah tua-tua ni, tak kerja pulak tu... takkan nak berhutang lagi.  Dah letih mengadap bank!

Ahad, 26 Julai 2015

Mug Merah


Semasa aku hadir di majlis makan-makan sempena raya di rumah Liza semalam; agaknya dia perasan dalam banyak-banyak cawan, aku dok pilih mug Nescafe itu untuk minum.  Memang aku dok berkenan sangat dengan mug itu. 

Raya dulu aku dah pau 1 set mug Nescafe (1 untuk aku dan 1 untuk ibu_suri) dari Liza juga.

"Ayah kalau nak ambil mug tu ambil la...." sambil ketawa dia semawa kat aku. Bak pucuk dicita ulam mendatang.

Aku memang suka juga memiliki koleksi mug. Buat masa ini aku ada mug Ali Cafe, antara yang aku sayang. Bila aku minum Alitea, aku akan guna mug inilah sebab kuantiti airnya sepadan dengan tekak dan perut aku.

Lalu 2~3 hari ini aku ngebat dengan mug 75 tahun Nescafe ini bila minum teh pu erh  waktu pagi dengan biskut 4 segi Julie's atau roti gandum Massimo dengan sapuan Naturel.  Itulah sarapan aku buat masa ini bila pagi sebab malas nak keluar beli kudapan.

Untunglah bagi sesiapa yang punyai isteri yang rajin sediakan makanan untuk suaminya setiap pagi. Hargailah susahpayah dia...

Udang Lipan


Aku dapat mesej dari anak saudara menjemput datang ke rumahnya di Taman Bertam Perdana kerana ada makan-makan. Selesai Maghrib, aku cepat-cepat ajak ibu_suri bersiap. Memang seharian ini pun aku tak kemana. Memerap saja di rumah. Kesian juga kat ibu_suri, tak keluar jalan-jalan. Badan aku rasanya belum pulih 100% lagi.

Suami kepada anak saudaraku - Liza ini sememangnya memiliki kedai makan di Kuala Muda. Jadi, malam tadi tetamu yang datang di jamu dengan mi kuah udang lipan. 

"Waduh... siang tadi kita makan mi. Malam ni mi lagi...." keluh aku pada ibu_suri.

Seronoknya bila aku hadir di majlis makan-makan saudara mara aku ni, aku boleh relaks sikit dari memberi tumpuan pada ibu_suri. Biarlah anak-anak saudara yang layan dia sementara aku bolehlah sembang santai dengan orang lain.

"Ayah.... nah mi kuah udang lipan" sua Liza dengan sepinggan penuh. 

"Hmmm... eloklah. Balik hospital aritu, 2 hari ayah asyik makan sup ketam konon nak bagi naik platelet darah. Pagi tadi ayah masak mi goreng campur sotong. Malam ni makan udang pulak... Mau naik pulak geraf kolestrol ayah ni...." ujarku sambil memerhati yang dikatakan udang tapi tak macam udang tu di dalam pinggan. Rasa geli pun ada sebab ini first time nak rasa  yang dikatakan udang lipan, kononnya sedap....

Hmm.... rasa macam ketam pun ada tapi isinya tak banyak. Bagi aku, tak adalah special manapun rasa udang lipan ni...

"Betul ke kata orang, kalau kena demam denggi elok makan ketam?" tanya Mudiana, isteri Bob yakni adik kepada Liza.

"Mungkin betul sebab masa ayah keluar wad, tahap platelet lebih kurang 55. Lepas 3 hari ayah pi klinik check darah, tahap platelet naik 280. Doktor kata ayah dah ok.... tak perlu check darah lagi..."

Ya tak ya.... Aku pun baru perasan. Seingat aku, keluar saja dari hospital, selain minta menantuku - Ayu buatkan sup ketam, aku juga amalkan minum 100 plus dan banyak minum air kosong.

Salah satu atau kesemuanya mungkin membantu kepada penambahan platelet darahku itu!