Ahad, 12 Jun 2016

Hangin


Ntah kenapa hari ini aku asyik nak marah-marah saja.

Dekat Akhmal tadi pun aku membebel sebab macam senang senang je ambil kipas angin dari dalam bilik dan bawa keluar rumah untuk bersama kawannya main karom. Kemudian bila dah selesai, bukannya nak letak semula di bilik sepertimana dia ambil tadi.

Lepas main, dia minta duit pula. Nak keluar, katanya. 

'Kamu ni... tak tahulah ayah macamana nanti jika ditakdirkan ayah dah 'tak ada'...'

Terhadap ibu_suri juga aku naik 'hangin' tadi. Isu nak beli cadar baru tu dah berminggu-minggu dia ulang ulang di telinga aku. Nak cadar design sama macam yang ada sekarang sedangkan ianya tak pun aku jumpa di kedai yang aku singgah.

Semasa aku singgah di bazar Ramadhan beli juadah makanan, aku belikan untuk 3 orang. Bila saja masuk ke dalam kereta baru dia beritahu Akhmal mungkin tak balik makan berbuka.

'Tadi abang tanya dia puasa tak, you kata dia 'mungkin' puasa. Jadi abang belilah untuk kita ber3. Sekarang, kalau dia tak balik makan... sapa nak makan banyak banyak ni?'

Kalau setakat kami ber2, moi yang diambil dari masjid dan beberapa ketul kuih tepung talam sudah memadai untuk berbuka.

Menggerutu aku sepanjang pemanduan. Itupun sebenarnya, tak keluar habis dari dalam dada. Aku kepung sebahagiaanya kerana aku tahu tak baik untuk marah marah di bulan puasa ni. Lagipun dia dah dalam keadaan kesihatan yang begitu... tak salah dia juga.

Dan lagipun, dia adalah istriku yang diamanahkan oleh Allah supaya dijaga sebaiknya. Bukan sebagai punching bag untuk melepas kemarahan yang tak tentu punca...

Astaghfirullahhil azim!

Apapun, ketat juga rasa dada ini menahan sebahagian dari marah yang tak  dikeluarkan...

Sabtu, 11 Jun 2016

Mimpi Abah

Arwah abah di hospital, seminggu sebelum pemergiannya

3 kali aku berjumpa abah semasa dalam tidur tadi.

Pertama, abah berjumpa aku untuk meminjam RM9. Ada keperluan katanya. 

Hatiku berdetik... apalah abah ni. Dengan anak sendiri pun nak kira pinjam. 

Aku bagi RM10. Abah menolak.

'Aku nak RM9 jer...'

Kali ke 2, aku berkereta dengan abah. Sampai di satu tempat, aku berhenti dan keluar dari kereta. Tak lama, abah pula keluar dan berdiri rapat dengan aku. Seolah bebisik, abah sekali lagi berkata...

'Abah nak pinjam RM9.'

Aku jadi heran. Takkan abah ni nyanyuk. Terlupa yang tadi dia dah minta RM9. Namun tangan ini bagi juga.

Kali ke 3, abah jumpa aku lagi. Kali ini dengan wajah resah, abah minta pinjam duit dengan jumlah yang sama... RM9. Aku bagi juga tapi dengan hati penuh kehairanan. Apasal dengan abah ni?

Tiba-tiba lalu kawanku Mukhtar (yang ni kawan sekerja aku dulu. Entah macam mana boleh ada dalam mimpi aku semasa hayat abah masih ada...).

'Tengok dia tu,' sambing bibir muncung ke arah bukit...

'Dah terdesak macam ni baru nak pi tolong...'

Aku pun berjalan cepat-cepat ke arah yang dimuncungkan oleh Mokhtar. 

Atas bukit, apa yang aku nampak ialah Ayah Co dan Pak Cik Saba (abang dan adik abah). Aku melihat mereka dengan beberapa orang lain. Aku tak faham apa yang berlaku.

Kerana aku tiba-tiba tersedar dari lena...


p/s: Aku memang susah malah mungkin tak pernah bermimpikan abah sebelum ini. Tak mahu beranggapan apa-apa melainkan ianya cuma mainan tidur. Balik kampung nanti, isyaAllah, harap tak lupa nak ziarah pusara abah...

Khamis, 9 Jun 2016

Cadar Itu Kena Basuh


Terasa badan aku aku dihinggut. Sayup-sayup di cuping telinga aku terdengar...

'Abang... abang... nak pi pancoq...'

Aku cuma mendengus tanda ok tetapi mata masih terkatup.

'Abang... abang... tak tahan dah ni...' lalu terdengar bunyi detapan air ke atas tikar getah.

'Kena mandi ni, bang!'

Aku mendengus lagi. Dalam hati.... menggerutu sambil mata terus pejam.

Tak lama, terdengar bunyi desah nafas ibu_suri tercungap; kemudian katil berhenjut dek henyakkan tubuh ke katil. Lalu terdengar rungutan...

'Abang ni... orang panggil banyak kali... abangg.. abangg... tak mai pun. Tidoq mati ka!'

Aku buat tak dengar. Mata memang tak boleh buka. Perlahan-lahan suara bebelan ibu_suri hilang dari cuping telinga.

Tapi tak lama bila aku terdengar pula esakan ibu_suri. Aku buka sebelah mata. Kelihatan dia mengesat airmata di pipi sambil baring merenung siling. Tensentot sekejap perasaan halus ini. Mataku melirik ke jam di dinding. 

'Baru 4.30!' detik hati ini.... 'Ada lagi 15 minit untuk bersiap sahur.'

Aku sambung pejaman mata. Namun tak dapat lena bila masih terdengar desas nafas ibu_suri menahan tangis.

Akhirnya aku bangun, duduk sekejap sambil mata masih aku buat-buat tertutup. Perlahan-lahan aku ke dapur dan menjenguk nasi yang aku masak sejak jam 2 pagi semalam.

Aku capai bungkusan plastik berisi gulai lemak labu, ikan dan telor goreng yang aku beli dari kedai makan simpang Permatang Tok Elong. Capai mangkuk dan letak atas talam. Tak lupa ambilkan ubat makan pagi sebanyak 9 biji dari pelbagai jenama dan bentuk... untuk diabetis, hipertensi dan psikiatrik.

Semuanya memakan masa 15 minit juga.

Usai itu, aku angkat talam ke dalam bilik. Makan di katillah seperti selalunya... 

Aku capai kerusi dan letakk menghampiri birai katil. Semasa hendak duduk... pop... kaki aku terkena tepi talam. Terpercik keluar kuah gulai dan tumpah ke atas cadar.

'Ni la yang malas makan kat katil ni. Susah. Nasihat orang tak mahu dengar...' getus hatiku.

Aku menarik nafas panjang dan dalam lalu meneruskan juga sahur.

'Cadar ni nanti abang kena bukak dan basuh' ujar ibu_suri.

Aku diam sahaja membendung kegalauan. Memang begitu sikapku bila dalam keadaan terlalu marah atau terlalu serabut!

Selasa, 7 Jun 2016

Berbuka Awai

menjaga abah di hospital Lam Wah Ee

'Abanggg...'

Lembut saja suara ibu_suri memanggil dari dalam bilik. 

Aku mengangkat badan dari kerusi. Terasa berat. 

Menyelak langsir bilik. Tersunggin senyum keanakan dari bibir ibu_suri. 

'Kenapa?'

'La ni solat Asar ke Zohor?'

Aku mengerut dahi. Memandang jam untuk kepastian. Jam dalam bilik ni pun bukan boleh percaya juga. Cepat dari waktu sepatutnya.

'Zohor lah. Kan baru tengahari ni. Awat... nak berbuka awai ka....!' 

Aku cuba berjenaka sambil melepaskan langsir pintu. Ada sedikit kehairanan. Jarang dia was-was tentang waktu solat. Sebaliknya, aku yang sering bertanyakan dia.

'Hu... kena solat balik la!' ujarnya diiringi ketawa halus kedengaran dari dalam bilik.

'Kalau dah tersalah niat memanglah kena buat balik. Solat tadi tak sah,' bisik hatiku.

Aku kembali melabuhkan punggung di kerusi meneruskan catatan di komputer riba.

Kembali


Terbit satu perasaan lain bila saja 1 Ramadhan tiba, kelmarin. Perasaan itu buat aku berfikir dan menilai semula apa yang telah aku buat sebelum ini.

Aku meminati seni lagu. Dari dulu lagi. Mungkin sebab ayah aku juga yang meminati lagu.

Semasa aku di belajar di IKM, Kuala Lumpur aku terdedah kepada lagu-lagu Ebiet G Ade. Aku mula menjadi peminat dan pengumpul (masa itu kaset) beliau. Selain itu aku meminati Kembara, Sohaimi Mior Hassan dan beberapa lagu puisi.

Bilamana terjun ke medan dakwaah dan menyertai NGO Islam, aku mula menukar selera kepada lagu nasyid. Tentunya masa itu... NadaMurni adalah kegemaran saya. Keluar sahaja albumnya aku beli. Hingg ke tahap aku tubuhkan kumpulan nasyid atas nama NGO itu.

Bila aku bersara hampir 2 tahun lalu, aku mula hanyut semula ke lagu-lagu kontemporari. Aku cari dan beli semula album seperti M Nasir, Kopratasa dan lebih terlajak ialah Alleycats, Jamal Abdillah...

Kelmarin, aku merasakan bilamana terlalu banyak mendengar lagu-lagu lagho ini, hati jadi keras dan tidak mententeramkan. Aku imbas semula masa-masa laluku berbanding hari ini seperti dah banyak beza.

Aku belek-belek semula almari yang menyimpan puluhan khazanah kaset dan cdku. Termanggu sekejap memikirkan...

'Memang, lagu dah menjadi sebahagian dari halwa kehidupanku sejak remaja. Dan untuk itu aku perlu kembali kepada lagu yang lebih mendekatkan diriku kepada Tuhan. Kepada realiti kehidupan. Kepada jalan menuju akhirat.'